63 peratus kes harian Sabah daripada jangkitan sporadik

Sebanyak 63 peratus daripada 4,373 kes harian Covid-19 di Sabah pada Selasa dikesan melibatkan jangkitan sporadik. - Gambar hiasan
Sebanyak 63 peratus daripada 4,373 kes harian Covid-19 di Sabah pada Selasa dikesan melibatkan jangkitan sporadik. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 63 peratus daripada 4,373 kes harian Covid-19 di Sabah pada Selasa dikesan melibatkan jangkitan sporadik, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, ini merupakan situasi yang membimbangkan kerana mengambil kira jangkitan sporadik yang tinggi itu, jumlah kes harian baharu akan terus meningkat dalam masa terdekat.

"Seperti diramal kes baharu Sabah terus meningkat 4,373 kes hari ini iaitu peningkatan 339 kes berbanding semalam dan merupakan angka tertinggi yang pernah dicatatkan di Sabah, dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi 752 kes diikuti Sandakan 647 kes dan Tuaran 388 kes,” katanya menerusi kenyataan malam Selasa.

Beliau berkata, 12 peratus daripada kes direkodkan pada Selasa terdiri daripada kanak-kanak 11 tahun ke bawah, iaitu 208 pesakit di bawah lima tahun dan 314 pesakit berusia lima hingga 11 tahun.

"Adalah diharapkan semua kanak-kanak yang sudah layak diberi vaksin mendapatkannya dengan kadar segera bagi memberi perlindungan maksimum kepada mereka daripada jangkitan atau kesan serius akibat jangkitan virus,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah terus merekodkan kluster institusi pendidikan pada Selasa iaitu Kluster Jubi Tambulion di Kota Belud melibatkan 22 kes kumulatif sehingga Selasa, dan kes indeks pelajar lelaki 17 tahun di Asrama Jubilee Sekolah Menengah Kebangsaan Tambulion dikesan positif 12 Februari lepas.

Beliau berkata, satu lagi kluster direkodkan pada Selasa ialah Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 di sini membabitkan kluster pusat tahanan di Penjara Kepayan melibatkan 104 kes positif kumulatif, dan kes indeks merupakan lelaki berusia 27 tahun yang dikesan positif 1 Februari lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: