X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Adun BN, 30 ahli sah keluar Umno

Mohd Rawi bersama 30 ahli Umno dari Langkawi umum keluar parti pada sidang media, di Hotel Royale Signature, di sini,hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Bekas Adun Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid bersama 30 ahlinya mengumumkan meninggalkan Umno.

Keputusan tersebut dibuat selepas berfikir panjang sejak berakhir PRU14 lalu dan pemilihan parti yang turut menyaksikan dirinya tewas dalam perebutan jawatan Ketua Umno Bahagian Langkawi.

"Dengan berat hati saya mengumumkan terpaksa keluar Umno yang mula saya sertai sejak 1990, namun keputusan itu demi perjuangan kepada bangsa dan agama.

"Rata-rata ahli (Umno) masih terkapai-kapai menunggu hala tuju Umno dan ramai yang kurang yakin Umno mampu bangkit semula apabila melihat kepada senario politik ketika ini," katanya dalam sidang media, diadakan di Royale Signature Hotel, di sini, hari ini.

Selain Mohd Rawi, Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Langkawi, Nur Aini Ahmad Ridzuan dan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian, Mansor Bahari turut berbuat demikian.

Sementara itu, beberapa ketua cawangan termasuk dari Kampung Teluk, Kampung Huma dan Kampung Pasir Hitam serta ahli akar umbi di Kampung Padang Lalang, Ewa, Bukit Puteri, Kilim dan Kampung Kubang Badak turut membuat keputusan meninggalkan Umno.

Beliau berkata, pihaknya mahu menjadi kumpulan pertama yang mengumumkan keluar Umno Langkawi bagi memastikan ia menjadi pencetus keberanian kepada ahli yang lain.

"Saya tahu ramai yang akan sokong, begitu juga yang akan marah tetapi perjuangan Melayu dan Islam perlu diteruskan. Jika penggerak perjuangan lemah maka sudah tiba masanya, kita berpindah.

"Ia umpama saya yang diamanahkan menjaga bungkusan yang menumpang sebuah kapal berusia 60 tahun di mana dalam kapal terbabit, terlalu banyak perkara yang menyukarkan perjalanan kapal yang turut usang kerana sudah reput. Di sini, saya perlu memikirkan keutamaan bungkusan itu.

"Apabila sebuah kapal baharu menawarkan ruang kosong untuk saya... saya perlu membuat pilihan bijak demi amanah yang diberikan.. Itulah sebab kenapa saya keluar Umno, hari ini," katanya.

Mohd Rawi merupakan Ahli Umno Cawangan Padang Lalang berkata buat masa ini, beliau mahu berehat buat seketika dan tidak mahu menyertai mana-mana parti lain.

"Kita akan berehat dalam tempoh seminggu, dua ini. Kita akan berbincang dengan kawan-kawan yang meninggal Umno.

"Saya juga cukup yakin, selepas saya isytihar bukan sahaja di Langkawi tetapi banyak lagi bahagian di Kedah akan membuat pengumuman keluar parti ini," katanya.

Mohd Rawi yang bersama Umno selama 28 tahun mengambil keputusan meninggalkan parti itu, tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan yang selari dengan perjuangan Melayu dan Islam.

"Saya juga mendapat keizinan daripada ibu, isteri, ahli keluarga serta kawan-kawan untuk keluar daripada (Umno) yang disertai sejak arwah ayah saya lagi.

"InsyaALLAH, doakan saya supaya tidak lalai dan lupa apabila sudah melangkah ke kapal baru (parti baru). Walaupun, belum buat apa-apa keputusan lagi," katanya.

Sepanjang menyertai parti itu, beliau memegang jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, Naib Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian.

Beliau pernah dilantik menjadi Ketua Pemuda Kedah dan menjadi Adun Ayer Hangat selama dua penggal.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!