PRK KKB: Ada petanda baik untuk calon PN

Saifuddin (kanan) bersama Andansura mengagihkan sumbangan raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis rumah terbuka PN Parlimen Indera Mahkota di Kampung Padang.
Saifuddin (kanan) bersama Andansura mengagihkan sumbangan raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis rumah terbuka PN Parlimen Indera Mahkota di Kampung Padang.
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) yakin terdapat petanda positif menunjukkan sokongan luar jangka terhadap calon mereka, Khairul Azhari Saut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keyakinan itu dapat dilihat menerusi sokongan dan penerimaan daripada pengundi yang begitu menggalakkan sepanjang jentera menjalankan kempen.

Menurutnya, tindakan parti MCA dan MIC yang mengumumkan untuk tidak turun berkempen juga memberi nilai tambah dan peluang cerah untuk meraih sokongan daripada masyarakat bukan Melayu.

"Saya nampak ada perubahan dari segi sokongan rakyat terhadap parti-parti bertanding. Masalah yang berlaku dalam UMNO terutamanya yang mutakhir (iaitu) soal Titah Adendum, nampak pimpinan UMNO dalam Kabinet tidak tetap pendirian dan tidak berani (bersuara).

"Kita juga mendapat sambutan luar jangka daripada orang UMNO yang kita kenal, malahan pelancaran jentera Pemuda PN untuk PRK KKB telah dibuat di rumah salah seorang orang kuat UMNO di Batang Kali, Selangor. Ini semua petanda yang cukup baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka PN Parlimen Indera Mahkota di Kampung Padang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menegaskan semua jentera PN perlu bekerja kuat kerana harapan untuk menang itu sangat cerah.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK Kuala Kubu Bharu ini, calon PN, Khairul Azhari akan menghadapi pertentangan daripada Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!