Hanya 4 jentera Pemuda UMNO turun ke PRK Kuala Kubu Baharu

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hanya jentera Pemuda UMNO dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak akan turun membantu calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, pada 11 Mei ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, jumlah jentera sayap dari empat negeri itu akan diputuskan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh selepas beliau yang kini berada di luar negara pulang ke tanah air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berpendapat, ia tidak perlu melibatkan jumlah jentera yang besar kerana akan melibatkan kos yang tinggi.

"Memandangkan ini PRK, tak perlulah turun sampai sebegitu ramai. Memadai jentera Pemuda UMNO Selangor dibantu jentera dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak membantu kempen di Kuala Kubu Baharu.

"Kita tak nak yang datang ke sana sebagai pelancong politik, jadi kita mahu jentera yang diturunkan itu nanti betul-betul bekerja bagi membantu memenangkan calon diletakkan," katanya selepas menyempurnakan Larian Amal Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Johor ke-10 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, ketika ini 22 bahagian Pemuda UMNO di Selangor sudah bergerak aktif di Kuala Kubu Baharu untuk membantu calon daripada DAP itu berkempen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: