Muhyiddin gesa pengundi desak enam ahli Parlimen gagal kotakan janji

Muhyiddin ketika menyampaikan ceramah di Kuala Kubu Baharu pada malam Selasa
Muhyiddin ketika menyampaikan ceramah di Kuala Kubu Baharu pada malam Selasa
A
A
A

HULU SELANGOR - Orang ramai terutamanya pengundi di enam kawasan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri, digesa untuk terus mendesak wakil rakyat terlibat susulan gagal mengotakan janji kepada rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka perlu menyampaikan rasa tidak puas hati kerana masih dibebani isu peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.

"Kalau mereka sedar situasi yang kian menekan, rakyat sebagai pengundi boleh menyampaikan khabar berita buruk bahawa YB berhak buat keputusan (alih sokongan), tetapi rakyat tidak boleh tahan dengan keadaan kerajaan tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak melaksanakan janji.

"Patut nasihat kepada Yang Berhomat, beritahu mereka, tukar (sokongan), jangan sokong lagi (Perdana Menteri)," katanya ketika Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Baharu pada malam Selasa.

Muhyiddin (tiga dari kiri) bersama beberapa pemimpin PN ketika hadir Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Baharu pada malam Selasa.
Muhyiddin (tiga dari kiri) bersama beberapa pemimpin PN ketika hadir Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Baharu pada malam Selasa.

Enam ahli Parlimen yang dimaksudkan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengulangi peringatan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu penting bagi memberi isyarat kuat serta referendum kepada Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun keputusan PRK pada 11 Mei nanti tidak menyebabkan peralihan kuasa sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, kemenangan PN akan beri isyarat kepada mereka bahawa sudah cukup.

Artikel Berkaitan:

“Pengundi di Kuala Kubu Baharu nanti akan ada kad laporan (kertas undi). Buat penilaian terhadap prestasi kerajaan.

"Berapa markah yang patut diberikan kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!