Calon PH lulus ujian - Anthony

Anthony Loke (duduk, dua dari kanan) dan Sock Tao (duduk, kanan) ketika jelajah mesra di salah sebuah restoran di Pekan Kuala Kubu Baharu pada Rabu.
Anthony Loke (duduk, dua dari kanan) dan Sock Tao (duduk, kanan) ketika jelajah mesra di salah sebuah restoran di Pekan Kuala Kubu Baharu pada Rabu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menunjukkan kemampuan untuk menjadi wakil rakyat apabila berjaya menunjukkan kematangan dan kebolehan menjawab segala serangan pihak lawan terhadapnya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana anak kelahiran Ampang, Selangor itu bukan sahaja layak dari segi akademik tetapi turut memiliki kelebihan dan kekuatan untuk meyakinkan pengundi memilihnya pada hari pengundian, 11 Mei nanti.

“Calon yang kita tampilkan telah tunjuk kematangan dan kebolehan menjawab segala isu. Saya rasa ujian beberapa hari ini (sepanjang tempoh kempen) beliau telah lulus.

“Saya memerhati secara dekat, apa sahaja yang dilontarkan (serangan lawan) berjaya dijawab dengan begitu mudah sahaja. Mungkin pihak lawan tidak tahu bahawa calon kita sebenarnya seorang pendebat di universiti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program jelajah mesra di salah sebuah restoran di sini pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Digital merangkap Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Sigh Deo dan Sock Tao.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kemahiran berbahasa dan mampu berucap dengan baik merupakan kriteria penting untuk mana-mana individu yang ingin bergelar sebagai wakil rakyat.

“Saya harap dalam tempoh kempen yang masih berbaki 10 hari lagi ini, jentera kita bersama calon akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan turut menzahirkan sokongan kuat yang diberikan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh kempen yang berlangsung ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pemimpin pusat telah menunjukkan komitmen sangat tinggi apabila kerap turun memberi sokongan di semua kawasan termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Walaupun calon yang ditampilkan oleh Kerajaan Perpaduan daripada kaum Cina tetapi pemimpin daripada semua kaum dalam komponen kerajaan memberikan sokongan yang sangat padu

“Ini merupakan ramuan atau strategi kita kerana apa yang ditampilkan Kerajaan Perpaduan ialah kekuatan semua kaum, agama dan bangsa sebagai simbolik mewakili semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!