Jalan berlubang, penunggang motosikal dapat ganti rugi RM721,000

Seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan ketika melalui jalan berlubang, di Pasir Gudang, tiga tahun lalu, berjaya memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggara jalan.
Seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan ketika melalui jalan berlubang, di Pasir Gudang, tiga tahun lalu, berjaya memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggara jalan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan ketika melalui jalan berlubang, di Pasir Gudang, tiga tahun lalu, berjaya memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggara jalan.

Ia selepas Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Februari lalu, memerintahkan syarikat yang dilantik kerajaan negeri itu, membayar kos berkenaan kepada Razali @ Mohd Leey Subeh, 49.

Berdasarkan alasan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Sabtu lalu, Hakim, Sazlina Safie berkata, Razali selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya, apabila syarikat terbabit gagal memfailkan sebarang hujahan bertulis atau lisan, sehingga ke tarikh keputusan berkenaan dibuat.

Katanya, lubang itu masih kekal rosak, tanpa sebarang pembaikan, sejak kejadian berlaku pada 11 Februari 2021 sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022.

Selain itu beliau berkata, syarikat berkenaan selaku defendan pertama telah memplidkan kenyataan yang bercanggah, bahawa mereka tidak menjumpai lubang di jalan tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerosakan didapati wujud akibat kerja-kerja kemudahan awam.

Susulan itu hakim ini berkata, mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

“Tidak dinafikan bahawa kecederaan yang dialami plaintif, adalah disebabkan kemalangan antara plaintif dengan kenderaan lain, tetapi jika tidak kerana plaintif terjatuh ke lubang dan hilang kawalan, kemalangan berkenaan tidak akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Akibat kemalangan tersebut, plaintif mengalami kecederaan di bahu, lengan, jari dan kepala,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pembelaan defendan pertama, syarikat itu menyatakan lubang berkenaan bukan di bawah tanggungjawabnya kerana lokasi kejadian melibatkan peranan syarikat utiliti lain berserta subkontraktor yang telah dilantik untuk menyelenggara.

Bagaimanapun, hakim ini berkata, defendan pertama, gagal membawa pihak ketiga, kontraktor atau pihak yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

“Justeru mahkamah menganugerahkan plaintif RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am,” kata hakim ini.

Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai namun terlanggar jalan berlubang di permukaan jalan berkenaan menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan.

Plaintif kemudian memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai defendan pertama dan kedua.

Bagaimanapun pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri).

Berikutan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu, syarikat penyelenggaraan itu dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Johor Bharu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!