Kesan Covid-19 kepada ekonomi

No Image Caption
A
A
A

APA yang sering membimbangkan saya mengenai hal-hal ekonomi adalah kebimbangan saya itu kerap menjadi kenyataan.

Walaupun saya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang ekonomi tetapi pembabitan saya dalam penulisan ekonomi membolehkan saya memahaminya sedikit sebanyak.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini saya telah menulis bagi menyatakan kebimbangan terhadap pencapaian ekonomi negara kita, khususnya prestasi Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Dua punca utama kebimbangan saya adalah kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi dan kelemahan pengurusan syarikat tersebut.

Kebimbangan saya mula terbukti apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) menunjukkan prestasi yang lebih rendah dan pada hari Jumaat kita dikejutkan dengan kerugian bersih suku tahun kedua (April hingga Jun) Petronas sebanyak RM16.5 bilion.

PNB sangat penting kepada rakyat jelata, khususnya bumiputera dalam erti kata lebih 14 juta melabur dalam skim saham amanah kelolaannya.

Dalam kaitan itu, PNB adalah GLIC yang mempunyai paling ramai pelabur dalam kalangan orang biasa yang bergantung bulat-bulat kepada kepakaran dan sifat amanah pengurusannya.

Antara pelaburan utama PNB adalah, apa yang disebut sebagai syarikat-syarikat warisan (legacy companies) yang diserahkan kepada kerajaan dengan harga murah pada awal tahun 1981. Ini termasuklah dua buah syarikat tua, iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Sime Darby Berhad.

Artikel Berkaitan:

Kemudian ada beberapa buah lagi syarikat besar yang dimiliki PNB seperti SP Setia, UMW, MIDF dan Malaysian Reinsurance. Selebihnya PNB melabur dalam pelbagai syarikat swasta yang sahamnya disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pratayang kepada kebimbangan mengenai prestasi PNB ini adalah pengumuman Maybank bahawa ia tidak akan membayar sebarang dividen bagi tempoh suku kedua tahun ini.

Boleh jadi banyak orang sudah tahu yang sektor perbankan mengalami masalah besar akibat penguncupan ekonomi kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beban yang jatuh ke atas bahu bank berikutan pelaksanaan moratorium pembayaran balik hutang di bawah pakej rangsangan kerajaan Perikatan Nasional.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan pada 2 September bahawa jumlah yang terbabit di bawah pakej itu mencapai RM78 bilion.

Kegagalan Maybank mengisytiharkan dividen akan menjejaskan pendapatan PNB dan apabila pendapatan PNB berkurangan, kemampuannya membayar dividen yang lebih baik kepada pelabur akan terjejas.

Malah, sebelum Covid-19, PNB tidak mampu memperbaiki kadar dividen kepada pelabur. Ia hanya membayar RM5.50 sen dividen dan bonus setiap unit bagi tahun 2019, iaitu kadar paling rendah dalam sejarah.

Masalahnya, bukan Maybank sahaja yang melaporkan prestasi tidak memberangsangkan sebaliknya boleh dikatakan semua bank utama di Malaysia mencatat kemerosotan perniagaan dan keuntungan.

Ini akan turut menjejaskan GLIC dan agensi pelaburan kerajaan yang lain seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang semuanya memiliki bank.

Kesimpulannya, prestasi GLIC amnya dan sektor perbankan khususnya akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan kebajikan pelabur kecil yang menabung melalui skim saham amanah seperti yang dikelolakan oleh PNB.

Maka sebab itulah saya amat bimbang dengan apa sahaja perkembangan di GLIC kerana kita sudah lihat bagaimana penyelewengan pengurusan hampir-hampir menjahanamkan Tabung Haji. Kita tentulah tidak mahu musibah ini berulang dalam GLIC. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara