Saya tidak banyak cerita politik tapi kerja selesai masalah rakyat - Hajiji

Hajiji menyempurnakan perasmikan pelaksanaan projek naik taraf LRA Kogopan Fasa 2 di Papar.
Hajiji menyempurnakan perasmikan pelaksanaan projek naik taraf LRA Kogopan Fasa 2 di Papar.
A
A
A

PAPAR - Kerajaan Sabah beri jaminan bahawa setiap projek yang dirancang membabitkan pembinaan empangan akan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan akan memberi keutamaan untuk fokus dalam melaksanakan projek yang telah dirancang.

"Insya-ALLAH, dalam kerajaan sekarang ini kita bagi keutamaan fokus untuk melaksanakan ini (projek pembinaan empangan). Itu dulu pengumuman kerajaan dulu, mereka banyak cerita politik.

"Sekarang saya tidak banyak cerita politik tetapi kerja untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatannya ke Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai jaminan kerajaan supaya projek pembinaan berjalan mengikut jadual berikutan sebelum ini banyak projek telah tertangguh.

Beliau sebelum itu turut merasmikan pelaksanaan projek naik taraf LRA Kogopan Fasa 2 di loji berkenaan.

Mengulas mengenai projek itu, Hajiji memaklumkan kerja naik taraf itu akan meningkatkan kapasiti bekalan air di kawasan Papar daripada 40 juta liter air kepada 80 juta air sehari.

"Projek ini akan dimulakan pada bulan ini dan dijangka siap pada Ogos 2026 dan ia menelan belanja sebanyak RM379 juta.

Artikel Berkaitan:

"Jadi dengan peningkatan kapasiti daripada 40 juta liter kepada 80 juta liter ini maka masalah air di kawasan Papar sehingga ke Putatan dan juga Kimanis akan dapat diselesaikan," katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri turut merancang untuk melaksanakan pembinaan empangan air di Ulu Padas, Tenom sebagai penyelesaian jangka panjang masalah air di negeri ini.

"Insya-ALLAH, pecah tanah akan dilakukan pada Oktober yang akan datang. Menerusi projek ini kita akan dapat menyelesaikan masalah air untuk tempoh jangka masa panjang kerana ia boleh menyalurkan air sehingga 6,000 juta liter sehari untuk jangka masa 80 hingga 100 tahun akan datang," katanya.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan bahawa itu adalah antara usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah kekurangan air di Sabah bagi tempoh masa jangka pendek dan panjang.

Semehtara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek LRA Kogopon Fasa 2 itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2013.

"Projek ini telah diluluskan pada Rolling Plan keempat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk pelaksanaan 2019 dan dijangka siap pada 2022.

"Malangnya projek ini tidak dilaksanakan kerajaan yang lalu, saya tidak pasti apa alasannya dan penangguhan telah menyebabkan kos projek yang pada awalnya RM312 juta telah meningkat sehingga RM379 juta.

"Ini sebenarnya punca gangguan bekalan air yang berlaku di Papar dan Putatan. Sebab itu bila diberi amanah sebagai Ahli Parlimen Papar, ini antara projek yang kita usaha untuk memastikan ia dapat dilaksanakan segera," katanya.