Syarikat jualan langsung tanpa lesen didenda RM9 juta

Datin Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mon Space (M) Sdn Bhd dan Monspacemall Sdn Bhd, yang diwakili Ooi Choon Hoi, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.
Datin Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mon Space (M) Sdn Bhd dan Monspacemall Sdn Bhd, yang diwakili Ooi Choon Hoi, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat yang mempromosikan skim piramid dan melakukan pengubahan wang haram dijatuhkan hukuman denda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Kuala Lumpur di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.

Hakim Datin Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mon Space (M) Sdn Bhd dan Monspacemall Sdn Bhd, yang diwakili Ooi Choon Hoi, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama iaitu kesalahan dibawah seksyen 4 (2) menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memegang lesen jualan langsung yang sah dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung di bawah seksyen 6 AJLSAP 1993, Mahkamah telah memerintahkan OKS yang mewakili Monspacemall Sdn Bhd membayar denda sebanyak RM300,000.

Pertuduhan kedua, iaitu kesalahan di bawah seksyen 27B AJLSAP 1993, menyebabkan supaya dipromosikan skim piramid iaitu Skim Monspace, OKS yang mewakili syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd didenda RM1,700,000.

Pertuduhan ketiga pula, OKS yang mewakili syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd didenda RM7,000,000 dan wang tunai di dalam 17 akaun yang disita berjumlah RM998,196 dilucuthakan dan dijadikan hasil kepada Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Monspacemall Sdn Bhd di No 22A, Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Mei 2018 manakala bagi pertuduhan kedua pula syarikat didakwa melakukan perbuatan tersebut di Mon Space (M) Sdn Bhd, No 2, Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Kuala Lumpur di antara tarikh 14 Jun 2017 hingga 17 Julai 2017.

Bagi kesalahan ketiga di bawah pengubahan wang haram, syarikat telah didakwa menggunakan akaun semasa syarikat di Malayan Banking Berhad, sebagai peralatan kesalahan pengubahan wang haram yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) Akta yang sama.

Terdahulu, OKS yang diwakili peguam Datuk HajiSulaiman Abdullah, Andy Yong, NC Lam dan Hisyam & Teh merayu hukuman yang ringan dengan alasan pertuduhan tersebut adalah kesalahan kali pertama dan perniagaan anak guamnya kini kurang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

Sementara pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Atiqah Abdul Karim@Husaini dan Tan Chiew King serta Syafinas Shabudin, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP, Tan Chiew King memohon hukuman yang berat dan setimpal untuk menyampaikan suatu mesej bahawa pihak kementerian memandang serius kesalahan yang dilakukan OKS untuk mengambil keuntungan yang mudah dengan jalan singkat dan sebagai pengajaran bukan sahaja terhadap OKS tetapi kepada syarikat-syarikat lain yang terlibat mempromosikan skim piramid.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan di hadapan OKS, OKS menawarkan 2 plan penyertaan utama Skim Monspace iaitu Membership Plan dan Shareholdder Plan.

Bagi Membership Plan, 1 Lot penyertaan bersamaan dengan RM500 dan yuran ahli sebanyak RM60, manakala Shareholdder Plan pula, 1 lot bersamaan dengan RM5,000 dan yuran ahli sebanyak RM60 bagi membolehkan ahli-ahli boleh membeli seberapa banyak lot-lot penyertaan tanpa had.

Faedah yang diperolehi oleh ahli-ahli daripada penyertaan skim ini ialah ahli-ahli boleh mendapat bonus tajaan, bonus laveling dan bonus pairing untuk menjana pendapatan dangan memperkenalkan ahli baru.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman ketika dihubungi mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan skim-skim yang menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat terutamanya skim-skim yang menjana pendapatan dengan cara memperkenalkan ahli baharu.

Orang ramai perlulah menyelidik dan memeriksa terlebih dahulu dengan mana-mana agensi seperti KPDNHEP, BNM, SC, SSM dan sebagainya sama ada sesebuah syarikat yang menawarkan apa-apa skim tersebut berdaftar dan mempunyai lesen dengan agensi-agensi berkaitan.

Beliau juga meminta orang awam untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan kepada melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre(ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif selaras dengan cogan kata kementerian “Pantas, Cekap dan Efektif".