Sambut merdeka secara normal baharu tetap meriah

Antara barisan Ahli Dewan Undangan Negeri yang terlibat pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 Peringkat Negeri semalam.
Antara barisan Ahli Dewan Undangan Negeri yang terlibat pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 Peringkat Negeri semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan menyambut Hari Kebangsaan dengan suasana berbeza kali ini apabila ia dilakukan secara tertutup di pekarangan Dataran Majlis Bandaraya Seremban semalam berikutan negara masih lagi berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 Peringkat Negeri Sembilan tetap meriah walaupun disambut secara sederhana.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada jam 8.40 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik.