Pulau Pinang tak ambil mudah kunjungan Negeri Sembilan

Antara aksi menarik dipamerkan pemain Pulau Pinang ketika berdepan Kelantan di Kota Bharu baru-baru ini. -Foto: Kelantan FA
Antara aksi menarik dipamerkan pemain Pulau Pinang ketika berdepan Kelantan di Kota Bharu baru-baru ini. -Foto: Kelantan FA
A
A
A

[DIKEMASKINI] PULAU Pinang tidak akan mengambil mudah aksi berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier di Stadium Bandaraya, Jumaat ini walaupun beraksi di laman sendiri.

Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata, pemain Harimau Kumbang perlu meningkatkan prestasi masing-masing bagi mengekang asakan skuad Jang.

“Tak boleh ambil mudah perlawanan di tempat sendiri ini walaupun tanpa kehadiran penyokong setia.

“Biarpun tanpa kehadiran penyokong itu adil kepada kedua-dua pasukan, tetapi Negeri Sembilan kali ini bukan lawan yang mudah buat kita.

“Ini kerana masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pemain Pulau Pinang di setiap bahagian dalam usaha meningkatkan prestasi bagi mengharungi baki perlawanan liga,” katanya.

Kedua-dua pasukan masih segar kemenangan aksi terdahulu dengan skuad Harimau Kumbang tersebut menewaskan Kelantan 3-0 di Kota Bharu 29 Ogos lalu manakala Negeri Sembilan menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 1-0 di Paroi sehari sebelum itu.

Tegas Manzoor Azwira, setiap bahagian Harimau Kumbang itu masih perlu dimantapkan semula bagi memastikan pasukan mampu menyaingi lawan dalam baki perlawanan.

Katanya, pemain perlu memperbaiki dan meningkatkan prestasi masing-masing setelah lama tidak beraksi saingan kompetitif akibat penangguhan liga akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Baki saingan liga baru bermula jadi pemain diingatkan tidak terlalu selesa sebaliknya perlu sentiasa perbaiki kelemahan,” katanya.