Azizulhasni tekad bawa pulang emas Paris 2024

Azizulhasni semasa sesi latihan menjelang Paris 2024 di Velodrom Nasional pada Jumaat.
Azizulhasni semasa sesi latihan menjelang Paris 2024 di Velodrom Nasional pada Jumaat.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tekad untuk 'dikalungkan' pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 pada penampilan terakhirnya di temasya itu.

Malah, The Pocket Rocketman berhasrat melengkapkan koleksi warna pingat yang dimenanginya di pentas Olimpik selepas memperoleh pingat perak dan gangsa acara keirin masing-masing pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun dan 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Mohd Azizulhasni juga turut optimis mampu meraih emas pertama negara di temasya berprestik dunia itu berikutan peningkatan prestasinya dari semasa ke semasa pada sesi latihan bersama ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley.

“Bila umur masuk 30-an persembahan mula turun tapi saya punya prestasi sentiasa meningkat semasa latihan. Perlumbaan terakhir yang setaraf dengan Olimpik adalah di Adelaide, Australia pada Februari lepas apabila saya bergelut dengan perikarditis.

“Saya tak berlatih dengan betul tapi boleh dapat emas acara keirin dan keputusan tahap tinggi dalam acara pecut. Bayangkan kalau saya berlatih dengan betul, sihat dan cukup rehat di Sukan Olimpik kelak,” katanya kepada pemberita pada sidang media Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Velodrom Nasional, Nilai pada Jumaat.

Mengenai sasaran pada penampilan terakhirnya di Sukan Olimpik, Mohd Azizulhasni berkata: “Saya tidak mahu membuang masa, tanpa saya bagitahu orang ramai sasaran, semua orang mesti sudah tahu saya mahukan emas.”

Bagaimanapun, pelumba berusia 36 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, beliau menghormati sebarang sasaran yang diletakkan oleh PKBM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Paris kelak.

Demi merealisasikan impian emasnya itu, Mohd Azizulhasni mengakui perlu bijak mengatur latihan bersesuaian dengan umurnya dan tidak terlalu memaksa fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Saya perlu bijak, berlatih dengan bijak dengan keadaan umur, untuk elak cedera, sebab umur macam ini susah sembuh kalau cedera,” katanya.

Bagi acara berbasikal trek, dua lagi pelumba layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!