X

Kindly register in order to view this article
!

Kompaun RM1,000 seperti hukuman antara dua darjat

Fahmi
A
A

KUALA LUMPUR - Kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin dianggap hukuman tidak adil dan berat sebelah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ia ibarat hukuman antara dua darjat dengan membandingkan hukuman itu dengan kes seorang wanita yang didenda penjara dan denda selepas kisahnya yang makan di sebuah restoran dengan memakai gelang merah jambu tular.

"Mak cik yang langgar kuarantin dipenjara sehari dan didenda RM8,000 (tetapi) menteri yang langgar kuarantin bebas ke sana ke sini dan hanya didenda RM1,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji menteri

Menteri dikompaun RM1,000 langgar kuarantin

Kes kuarantin: Menteri pun tak akan terlepas tindakan undang-undang

Teresa dakwa menteri pulang dari Turki tidak jalani kuarantin

"Tahniah kerajaan PN (Perikatan Nasional) prihatin rakyat," ciapan di Twitternya dengan meletakkan tanda pagar #antaraduadarjat.

Dalam tweet berasingan, Fahmi turut mengeluarkan sindiran yang hukuman dalam negara menggunakan dua set undang-undang yang berbeza.

"Ada dua set undang-undang, satu untuk (rakyat) marhaen dan satu untuk menteri.

"Kenapa pakej menteri ini tidak ditawar kepada mak cik gelang pink yang dipenjara sehari dan didenda RM8,000? Mak cik itu mengaku bersalah, tapi tetap dihukum.

"Semakin hari semakin menjadi-jadi PN ini, orang dia selamat, orang lain kena," katanya.

Sebelum itu, Fahmi turut berkongsi peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang menunjukkan perbezaan antara denda dan kompaun untuk dirujuk Mohd Khairuddin.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya hari ini berkata, Mohd Khairuddin didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mohd Khairuddin didakwa tidak menjalani kuarantin 14 hari sekembalinya dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di negara itu selama beberapa hari.

Hannah
Hannah

Isu kompaun dikeluarkan KKM itu turut mendapat reaksi dari Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mengganggap hukuman ringan itu dipengaruhi oleh jawatan disandang Mohd Khairuddin.

"Kos diskaun yang cukup besar sekali," tulis Hannah di Twitter dengan tanda pagar #akumenteri.

Sementara itu, ciapan di Twitter Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan itu turut mendapat maklum balas dari netizen antaranya Elise Je Taime yang kecewa dengan hukuman yang didakwa berat sebelah.

"Kenapa Malaysia macam ini? Sangat mengecewakan dan harap menteri ini diberikan balasan setimpal (karma) di kemudian hari," tulisnya.

Tidak kurang yang menyindir dengan meminta kod promo bagi kompaun yang dikenakan itu.

"Untunglah, ada kod promo ke tu? Kongsi la sikit," tulis Aiaz44.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!