Perjuangan Islam bukan milik Pas sahaja - Mohd Khairuddin

Khairuddin
Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan kepada pimpinan Pas untuk tidak mendabik dada mendakwa sebagai satu-satunya parti politik yang memperjuangkan Islam.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata, perjuangan Islam bukan dimiliki oleh parti itu sahaja sehingga membolehkan mereka untuk ‘mensucikan’ sesiapa yang menyertainya.

Ujarnya, pemikiran sedemikian membawa implikasi yang sangat buruk sehinggakan individu yang tidak lagi bersama dengan gerakan utama politik Malaysia itu dianggap keluar daripada jemaah Islam.

“Ahli Pas tarbiah untuk menerima hanya parti tersebut ialah satu-satunya jemaah Islam di Malaysia lalu memandang serong pada semua orang Islam di luarnya sedangkan kefahaman salah inilah menjadi sebab berpecah jemaah Muslimin di Malaysia.

“Ia punca ahli Pas tidak solat di masjid kerajaan lalu membina masjid sendiri dan hanya solat Jumaat di masjid Pas sahaja. Inilah punca solat dua imam, akad nikah yang diwalikan oleh ahli UMNO tidak sah malah sembelihan orang UMNO tidak sah.

“Salah faham terhadap konsep ini di kalangan ahli Pas mesti dibetulkan kerana ia adalah penyelewengan terhadap maksud hadis sahih,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Mohd Khairuddin turut melontarkan pandangan bahawa parti tersebut telah undur jauh ke belakang pada saat gerakan Islam lain seluruh dunia menerima kepelbagaian jemaah kecil dan parti politik yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup.

Ujarnya, keluar dan masuk parti lain serta menubuhkan parti baharu adalah fenomena gerakan dakwah di negara Islam lain tetapi ia tidak diiktiraf oleh Pas kerana dakwaan mereka hanya parti itu yang memperjuangkan Islam di Malaysia.

“Besarnya kesan pada umat bermula dengan penyelewengan terhadap maksud Hadis Nabi SAW.

“Saya tidak salahkan ahli Pas yang tidak mendalami Islam dan tidak mampu merujuk kepada syarah hadis tetapi saya menyalah alim ulamanya yang menyelewengkan maksud sebenar hadis itu,” tambah beliau.