Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji menteri

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos atas rasa tanggungjawab selepas melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin.

Menurut beliau, gaji berkenaan akan disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.

Katanya, sebagai menteri, beliau bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri dikompaun RM1,000 langgar kuarantin

Kes kuarantin: Menteri pun tak akan terlepas tindakan undang-undang

“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk Mei hinggaOgos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berjanji akan bekerja keras bagi memastikan nasib semua rakyat yang terlibat dalam bidang perladangan dan komuniti terbela.

“Saya juga melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” katanya.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini berkata, Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP kuarantin.

Mohd Khairuddin didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, ketika sesi persidangan Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin wajib oleh Mohd Khairuddin.

Berikutan itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dikritik banyak pihak kerana mengingkari arahan kuarantin wajib seperti diarahkan pihak berkuasa.