Bekas mufti terima Anugerah Maal Hijrah Johor

Mohd Tahrir (tengah) bersama-sama isteri dan keluarganya selepas menerima Anugerah Maal Hijrah bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor Tahun 1442H/2020M di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.
Mohd Tahrir (tengah) bersama-sama isteri dan keluarganya selepas menerima Anugerah Maal Hijrah bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor Tahun 1442H/2020M di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, 71, menerima Anugerah Maal Hijrah bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor Tahun 1442H/2020M di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Anak kepada tokoh ulama dikenali sebagai Allahyarham Tuan Guru Kiyai Samsudin yang sangat dihormati satu ketika dahulu di Johor itu menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah iringan berjumlah RM2,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.

Mohd Tahrir yang masih memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sejak November 2018 hingga kini menerima anugerah tersebut yang disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Selain beliau, Pengerusi Program dan Aktiviti Pusat Hidayah Batu Pahat, Nur Salina Pei Abdullah, 32, menerima Anugerah Maal Hijrah Saudara Kita dan Ahli Persatuan Orang Asli Malaysia, Yusri Abullah, 40, menerima Anugerah Maal Hijrah Orang Asli.

Yusri dan Nur Salina menerima Anugerah Maal Hijrah Orang Asli serta Saudara Kita dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor Tahun 1442H/2020M di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.
Yusri dan Nur Salina menerima Anugerah Maal Hijrah Orang Asli serta Saudara Kita dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor Tahun 1442H/2020M di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Menurut Mohd Tahrir, kepakaran dan khidmat baktinya kini dicurahkan menerusi pembabitan sebagai Ahli Penggubal Modul Sakinah Penceramah Johor, Pakar Rujuk Modul Pengukuhan Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Johor serta Kuliah Agama di daerah ini sejak 1992 hingga kini.

"Saya akan meneruskan khidmat masyarakat daripada segi penyampaian ilmu dan pertubuhan Islam. Usaha berdakwah tidak akan terhenti selagi saya mampu.

"ALLAH SWT menyebut dalam al-Quran surah An-Nur Ayat: 35 bahawa nur hidayah ALLAH SWT kepada sesiapa yang mengikut landasannya, jadi maknanya bilamana contohnya matahari bersinar semua cahaya lain kena tutup.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga bilamana sinar Islam sudah memancar, yang lain bertentangan dengan Islam ini ditutup. Kalau liberal itu betul, maka tiada yang dikatakan dakwah. Dakwah ini bermakna sentiasa dituntut untuk disebarkan dengan cara yang baik supaya agama Islam itu dipelihara oleh umatnya," katanya ketika ditemui selepas penyampaian anugerah itu.

Sementara itu, Nur Salina yang mendapat hidayah pada 4 Julai 2013 berkata, usaha berdakwah akan diteruskan walaupun mendapat tentangan pihak tertentu dan berserah kepada Allah selain mahu terus menuntut serta mempertingkatkan ilmu.

Beliau yang pernah menjadi Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 berharap dan berdoa agar ahli keluarganya terutama kedua ibu bapanya mendapat hidayah serta berada pada jalan benar.

Yusri pula yang masuk Islam pada 24 April 2004, merakamkan rasa bersyukur kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) kerana memilihnya untuk mendapat anugerah itu sekali gus memberikannya motivasi untuk terus beramal.

Dia yang bekerja sebagai buruh di kebun kelapa sawit sebelum ini mewakafkan perigi dan tanah untuk didirikan surau, rumah transit, tadika serta balai raya untuk kegunaan masyarakat di Kampung Orang Asli Sungai Peruh, Kluang.