PBT mesti proaktif perangi rasuah

No Image Caption
A
A
A

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menahan beberapa pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis judi dan perniagaan yang beroperasi tanpa lesen di sekitar Sungai Buloh, Selangor.

Para penguat kuasa berkenaan didakwa menerima suapan antara RM300 hingga ke RM3,500 sebulan. Gejala makan suap ini hakikatnya telah lama berakar umbi dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut SPRM, sebanyak 1,871 maklumat berhubung dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan PBT diterima agensi itu dari tahun 2014 hingga 2019. Sebahagian besar merupakan penjawat awam berumur 40 tahun ke bawah.

Justeru, kesemua 150 PBT di negara ini mesti melakukan pembersihan dan penambahbaikan dari masa ke masa termasuk melaksanakan polisi pertukaran jawatan atau pusingan tempat kerja bagi setiap tiga tahun.

Pegawai dan kakitangan yang bertugas terlalu lama di suatu tempat adalah antara faktor yang membuka ruang kepada gejala rasuah. Apatah lagi, ada kakitangan tidak pernah ditukarkan sejak mula berkhidmat sehinggalah pencen.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam 2004, pertukaran penjawat awam membabitkan jawatan yang sensitif boleh dibuat antara tempoh tiga hingga lima tahun sekali. Namun, tempoh lima tahun mungkin terlalu lama terutama di kawasan tumpuan ekonomi.

Selain mengekang gejala rasuah, pertukaran itu juga mampu meningkatkan produktiviti kakitangan dan organisasi tempat mereka berkhidmat. Langkah tersebut dapat menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran dalam kalangan kakitangan terlibat.

Bagaimanapun, pertukaran itu tidak boleh digunakan untuk menghukum kakitangan terbabit. Pemberian habuan di bawah meja ternyata menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat dan mencemarkan integriti pegawai dan seluruh kakitangan PBT terlibat.

Artikel Berkaitan:

Maka, PBT harus mengambil langkah proaktif jika tidak mahu lebih banyak pendedahan seperti ‘video Asri Janggut’ tersebar.