Empat anggota polis didakwa rompak berkumpulan guru

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang guru sekolah swasta sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada 4 Mei tahun lalu

Bagaimanapun, kesemua tertuduh, Syazuwan Nik Mamat, 31, Muhammaad Bazil Rosly, 31, Mohamad Masruz Rahmat Masuhut, 28, dan Mcallister Nicholl Helbron, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh telah melakukan rompak berkumpulan dengan menyebabkan kecederaan terhadap James Anthony Sossay, 47, dan telah merompak wang tunai RM8,850 di tempat letak kereta di Pangsapuri Berembang Indah Kuala Lumpur, Wangsa Maju pada jam 4 pagi, 4 Mei tahun lalu.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Jufri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam, Akmal Jusof mewakili keempat-empat tertuduh memohon jaminan rendah ditawarkan berikutan kesemua tertuduh masih bertugas sebagai anggota polis.

Akmal berkata, tertuduh pertama telah berkahwin dan mempunyai tanggungan isteri tidak bekerja dan seorang anak, manakala tertuduh kedua juga menanggung dua anak dan isteri yang bekerja menjual barangan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh ketiga pula baharu berkahwin dan isteri bekerja di syarikat swasta dan pendapatan isteri hanya sekitar RM 1,500 sebulan manakala tertuduh keempat tidak berkahwin dan menanggung ibu bapa di kampung," katanya.

Setelah mendengar hujahan kedua belah pihak Hakim Mahyon menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selain syarat tambahan tertuduh perlu hadir di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.