Ribut: KPM salur peruntukan kecemasan untuk SRJKC Malim

Serpihan bumbung dan siling bilik darjah yang diterbangkan angin sehingga sejauh kira-kira 50 meter hingga ke gelanggang bola keranjang sekolah.
Serpihan bumbung dan siling bilik darjah yang diterbangkan angin sehingga sejauh kira-kira 50 meter hingga ke gelanggang bola keranjang sekolah.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pendidikan Malaysia akan menyalurkan peruntukan kecemasan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Malim di sini yang terjejas teruk akibat ribut, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan l, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, peruntukan kecemasan yang akan disalurkan dalam masa terdekat itu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan segera untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak tertangguh dalam tempoh lama.

Menurutnya, selain itu, kementerian juga meluluskan serta-merta permohonan berjumlah RM105,000 bagi tujuan penyelenggaraan bangunan yang telah dimohon lebih awal oleh pengurusan sekolah berkenaan.

"Saya juga difahamkan kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kepada sekolah ini menerusi tabung bencana negeri bagi membantu mengurangkan beban mangsa bencana.

"Pada masa sama, kita juga akan menyalurkan bantuan kecemasan untuk membaiki kerosakan blok bangunan sekolah yang dilanda ribut," katanya ketika turun padang melawat kawasan sekolah itu yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam kejadian ribut pagi tadi, Sinar Harian melaporkan cuaca hujan lebat berserta ribut menyebabkan kira-kira 28 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Malim mengalami kecederaan ringan dalam kejadian jam 10 pagi itu.

Hang Soon (kanan) mengiringi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam melawat kawasan sekolah (SRJKC) Malim yang mengalami kerosakan akibat ribut, di sini, hari ini.
Hang Soon (kanan) mengiringi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam melawat kawasan sekolah (SRJKC) Malim yang mengalami kerosakan akibat ribut, di sini, hari ini.

Insiden adalah pertama kali melanda sekolah berusia 82 tahun itu membabitkan murid tahun dua dan lima malah mereka yang tercedera telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azam berkata, ketika kejadian 830 murid berada dalam bilik darjah masing-masing dan sedang menjalani waktu rehat sebelum dua blok bangunan sekolah berkenaan terjejas akibat siling bangunan jatuh selain bumbung bilik darjah diterbangkan angin.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri mengambil langkah awal dengan mengeluarkan arahan menangguhkan sesi persekolahan kepada semua murid selama dua hari sehingga esok.

Katanya, keputusan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan selain memberi ruang kepada pasukan keselamatan menjalankan siasatan dan pemeriksaan bagi memastikan blok bangunan selamat digunakan atau atau sebaliknya.

"Kita bersyukur ketika kejadian murid-murid berada dalam bilik darjah dan guru telah mengambil tindakan pantas membawa murid-murid ke tempat lebih selamat.

"Keputusan menangguhkan sesi persekolahan itu membolehkan bomba membuat pemeriksaan lanjut mengenai struktur bangunan berusia 82 tahun itu selain melihat keperluan lain yang boleh diberikan," katanya.