Keracunan makanan tidak serius

Abdul Aziz bertanyakan sesuatu kepada murid ketika rehat di kantin sekolah terbabit.
Abdul Aziz bertanyakan sesuatu kepada murid ketika rehat di kantin sekolah terbabit.
A
A
A

IPOH - Kejadian keracunan makanan membabitkan 17 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Manjo Dua, di sini, dilaporkan tidak serius.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, setakat ini tiada mana-mana murid yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara masih memantau tahap kesihatan murid-murid terbabit.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri akan menjadikan kes ini sebagai rujukan untuk membuat langkah-langkah perlu mengelak kejadian sama berlaku.

"Saya akan duduk berbincang dengan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengambil langkah awal yang boleh dipertimbangkan bagi mengelak perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat SK Manjoi Dua, di sini.

Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya tidak melihat sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan pengusaha kantin sekolah itu malah kejadian tersebut pertama kali berlaku sejak mengendalikannya dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan nasi goreng basi, 17 murid keracunan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Unit Hal Ehwal Murid PPD Kinta Utara, Zaherien Rahmat berkata, kantin sekolah terbabit telah diberikan notis penutupan sementara oleh Jabatan Kesihatan bagi memberi ruang kepada jabatan tersebut membuat siasatan.

Katanya, sampel makanan untuk diuji dan keterangan murid-murid terlibat telah diambil untuk tindakan lanjut.

"Notis penutupan sementara dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan sehingga Isnin, pihak kantin menyediakan makanan dari luar selain ibu bapa juga sudah dimaklumkan tentang penutupan kantin tersebut.

"Kami sedang menunggu pengesahan dari Jabatan Kesihatan mengenai punca sebenarnya sama ada disebabkan penyediaan makanan, bahan mentah atau fizikal kantin," katanya.

Beliau berkata, kantin tersebut dijangka akan beroperasi seperti biasa pada Isnin depan dan hari ini murid dibekalkan roti sertai air mineral selain bekal yang dibawa dari rumah.

Semalam, seramai 17 murid SK Manjoi Dua mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas dipercayai makan nasi goreng pada waktu rehat.