Incott gesa dua ADUN India PKR diberi jawatan Exco

Rajasekaran (kiri) dan Kumaresan - Foto keadilanrakyat.org
Rajasekaran (kiri) dan Kumaresan - Foto keadilanrakyat.org
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Integrasi Koordinasi India Malaysia (Incott) menggesa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi ruang dan peluang kepada ahli PKR berbangsa India diberi tugas menggalas jawatan penting di peringkat negeri.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Incott mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Negeri Sembilan, Dr Rajasekaran Gunnasekaranmemegang jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Sementara itu, Incott mencadangkan ADUN Batu Uban, Pulau Pinang, Kumaresan Arumugam untuk dilantik sebagai Pengerusi Hindu Endowments Board (Lembaga Wakaf Hindu).

“Hal ini kerana ada rungutan dan ketidakpuasan daripada segelintir masyarakat India terutama ahli PKR kerana peluang yang sewajarnya tidak diberikan untuk menerajui kepimpinan negeri, malah kuota tersebut diberikan kepada ADUN India daripada parti DAP,” katanya kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Incott berharap agar Kumaresan diberikan jawatan Exco memandangkan tempoh itu merupakan penggal kedua beliau sebagai ADUN di Pulau Pinang.

Kata kenyataan itu, PKR mempunyai sokongan asas dan padu daripada ahli PKR India dan Anwar sepatutnya menitikberatkan dan memberi peluang kepada ADUN PKR India untuk memegang jawatan penting peringkat negeri.

Tambah kenyataan itu lagi, situasi di Pulau Pinang boleh diseimbangkan jika Kumaresan diberi jawatan Exco dan masih tidak terlambat untuk memberinya jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB).

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami berharap agar nama yang dicadang diberi peluang bagi menghargai jasa mereka dalam membawa sokongan padu daripada ahli PKR India untuk Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya jawatan diberikan kepada ADUN India PKR, ia secara tidak langsung akan menguatkan saf perjuangan dan menyuntik semangat pasukan dalam kalangan ahli untuk terus menyokong,” kata kenyataan itu.