X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

Pengangguran di Melaka kekal rendah jika rakyat patuh SOP

Sulaiman (depan, kiri) dan Hasim (depan, kanan) pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat negeri di Ayer Keroh, hari ini.
A
A

MELAKA - Melaka dijangka dapat mengekalkan kadar pengangguran pada paras terendah tahun ini sekiranya rakyat negeri itu mematuhi norma baharu seperti amalan penjarakan fizikal secara berterusan untuk melenyapkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) supaya aktiviti ekonomi berjalan rancak semula.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, sekiranya Melaka bebas Covid-19, situasi itu memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur domestik untuk melabur di negeri tersebut sekali gus memangkin ekonomi negeri.

"Kadar 1.1 peratus pengangguran boleh diturunkan sekiranya tak ada jangkitan Covid-19 baharu dan Melaka kekal sebagai negeri hijau kerana nanti banyak pelabur domestik membuat pelaburan.

"Kita yakin kalau rakyat Melaka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kendiri, maka tidak mustahil angka berkenaan dapat diturunkan lagi," katanya pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Sulaiman (dua dari kiri) dan Hasim (dua dari kanan) melihat buku Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat negeri di Ayer Keroh, hari ini.
Sulaiman (dua dari kiri) dan Hasim (dua dari kanan) melihat buku Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Sebelum itu dalam ucapannya, Sulaiman berkata, beliau berbangga Melaka tersenarai antara lapan negeri yang mencatatkan peningkatan kadar penyertaan tenaga kerja dengan jumlah kadar pengangguran terendah sebanyak 1.1 peratus pada tahun lalu.

Tambahnya, pada masa sama kerajaan negeri sedang berusaha mewujudkan satu koridor ekonomi baharu menerusi pelaburan berimpak tinggi bagi memacu ekonomi negeri yang akan dinamakan 'Melaka Waterfront Economic Zone' atau M-WEZ.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, pihaknya sentiasa menyokong inisiatif dan gerak kerja kerajaan Pusat untuk sama-sama memacu negara ke arah pencapaian terbaik.

Menurutnya, dengan adanya Kempen Pembudayaan Norma Baharu ia akan dapat meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat

"Rakyat perlu bekerjasama dengan kerajaan khususnya petugas kesihatan dan penguat kuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu yang diamalkan dapat memutuskan wabak ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!