SPRM tahan tiga individu termasuk anggota TLDM di Miri

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga individu termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu penyewaan bas yang dianggarkan bernilai lebih RM16,000.

Menurut sumber, anggota TLDM berpangkat Laskar Kanan berusia 33 tahun tersebut ditahan pada jam 8.45 malam di Pejabat SPRM Cawangan Miri, ketika hadir memberi keterangan.

"Selain anggota TLDM berkenaan, turut ditahan ialah seorang pesara TLDM berusia 41 tahun dan seorang pengurus syarikat berusia 37 tahun yang disyaki bersubahat dalam penyewaan bas tersebut.

"Kedua-dua suspek tersebut ditahan di Pejabat SPRM Sarawak, Kuching pada jam 8.30 malam ketika hadir memberi keterangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas sumber, anggota TLDM tersebut dipercayai telah bersubahat dengan dua lagi suspek dalam mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berhubung perkhidmatan sewaan tiga buah bas sempena latihan menembak TLDM pada Oktober 2017 sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dibuat.

Tambah sumber, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek pagi ini di Mahkamah Majistret Miri dan Mahkamah Majistret Kuching.

Difahamkan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Razim Mohd Noor ketika mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.

Artikel Berkaitan: