Tragedi Beirut lengkapkan episod malang rakyat Lubnan

Kemusnahan termasuk runtuhan bangunan akibat letupan di Beirut semalam. - Foto EPA
Kemusnahan termasuk runtuhan bangunan akibat letupan di Beirut semalam. - Foto EPA
A
A
A

JIKA dunia merasakan tragedi letupan gudang dahsyat di Beirut petang semalam sehingga mengorbankan lebih 100 orang dengan lebih 4,000 penduduk tercedera sebagai permulaan nasib malang menimpa negara Lubnan, pandangan mereka adalah meleset.

Tragedi menimpa negara Lubnan sejak semalam dipercayai disebabkan oleh letupan di stor simpanan hasil rampasan lebih 2.75 tan ammonium nitrat berbentuk baja pertanian di pelabuhan kapal besar di Beirut, berhampiran dengan kawasan tumpuan perniagaan (CBD), boleh dianggap antara malapetaka terburuk dalam sejarah dunia.

Meskipun pihak berkuasa Lubnan menegaskan punca utama letupannya masih dalam siasatan, namun Presiden Lubnan, Michel Aoun menegaskan tindakan menyimpan bahan mudah terbakar di dalam gudang berkenaan selama enam tahun tanpa sebarang langkah keselamatan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Susulan itu, jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti dalang sebenar dengan terdapat laporan sumber perisikan oleh Fox News yang mendakwa ada kemungkinan ianya disebabkan perbuatan khianat atau sabotaj.

Bahkan Aoun dilaporkan turut memanggil mesyuarat Kabinet tergempar bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu.

Di sebalik kesan dahsyat akibat malapetaka terbesar melanda negara Lubnan, negara itu sebenarnya sudah berdepan pelbagai nasib malang dalam tempoh 15 tahun lalu.

Tragedi letupan gudang dahsyat di Beirut petang semalam sehingga mengorbankan lebih 100 orang dengan lebih 4,000 penduduk tercedera.
Tragedi letupan gudang dahsyat di Beirut petang semalam sehingga mengorbankan lebih 100 orang dengan lebih 4,000 penduduk tercedera.

Bermula dengan sistem politik yang mempunyai unsur korupsi dan nepotisma sehingga menyebabkan berlakunya ketidakstabilan, kerajaan Lubnan juga dikenal pasti memiliki sikap kebergantungan dengan hutang, terutama sekali melibatkan institusi kewangan luar negara sehingga menyebabkan ekonomi negara itu hampir lumpuh dan bankrap.

Artikel Berkaitan:

Menurut sebuah artikel tulisan Profesor Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail, unsur korupsi dan salah guna kuasa diamalkan kepimpinan negara Lubnan berpunca daripada sikap masyarakat mengambil ringan terhadap amalan itu.

Selain itu, beliau dalam artikelnya menegaskan wujudnya beberapa suasana politik sektarian atau berpecah-belah dalam masyarakat Lubnan di mana mereka berpecah kepada beberapa kumpulan dan saling bersaing untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa.

“Antara kumpulan utama di maksudkan adalah puak Kristian dan sekular (di bawah payung parti At-Tayyar al-Watani al-Horr dan parti At-Tayyar Marada), puak Syiah (yang berpayung di bawah parti Amal dan parti Hezbollah) dan puak Sunni (di bawah payung parti Tayar Al Mutakbal, Jamaah Al Islamiya, Al Karama dan Hizb Ittihad).

“Akibat daripada persaingan mendapat sokongan, pemimpin parti politik dari pelbagai kumpulan ini cenderung untuk beramal dengan amalan korupsi dan nepotisme, sekaligus menyebabkan dana kerajaan banyak dibazirkan.

“Tidak hairanlah kerajaan Lubnan akhirnya terbelenggu dengan hutang yang banyak. Di dalam senarai kerajaan yang paling banyak berhutang (berbanding saiz ekonomi negara), Lubnan di tempat ketiga dengan hutang berbanding KNK (atau saiz ekonomi negara) sebanyak 152 peratus,” katanya dalam satu artikel disiarkan Astro Awani.

Mohd Mizan Mohd Aslam
Mohd Mizan Mohd Aslam

Pandangan sama turut dipersetujui Pakar Kajian Strategik Antikeganasan dan Diradikalisasi daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam yang menegaskan masalah ekonomi Lubnan menjadi semakin parah apabila tercetusnya pandemik Covid-19.

“Lubnan kini berdepan antara krisis ekonomi terburuk dalam sejarah negara itu susulan masalah inflasi mencecah 38 peratus, hampir separuh daripada penduduk negara itu hidup di bawah paras kemiskinan selain berdepan kadar pengangguran sangat membimbangkan mencecah 48 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Mizan tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat atau sabotaj pihak tertentu.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor memungkinkan Lubnan menjadi sasaran ketika konflik berlaku antara puak Hezbollah dan Israel,

“Siri serangan bertali arus kumpulan Hezbollah terutama di kawasan Bukit Golan tidak disenangi pihak Israel selain kekuatan Hezbollah disokong Iran, mendatangkan ancaman kepada Israel. Dengan berlaku tragedi malapetaka besar seperti ini, siri serangan terhadap Israel akan dapat dikendurkan,”katanya.

Selain itu, Mohd Mizan turut menggariskan faktor kedua adalah kemungkinan tercetus kembali perang saudara akibat persaingan antara sektarian.

“Hassan Diab juga sememangnya diketahui mendapat sokongan kuat kumpulan Hezbollah yang secara jelas merupakan musuh ketat Israel.

“Bila tragedi sebegini berlaku, Israel secara teorinya akan selamat dan tidak lagi menerima kumpulan Hezbollah yang menguasai wilayah Selatan Lubnan, sebaliknya perang saudara dibimbangi akan tercetus,” katanya.

Seorang lagi penganalisis antarabangsa dari Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi menegaskan terdapat teori mengaitkan kejadian letupan gudang di Beirut seolah-olah berpunca daripada serangan entiti kuasa asing.

Abdul Muein Abadi
Abdul Muein Abadi

Bersependapat dengan Mohd Mizan, Abdul Muein menegaskan ancaman entiti kuasa asing bukan perkara baharu di Lubnan kerana negara itu boleh diibaratkan sebagai negara penampan (buffer zone) yang memisahkan antara dua musuh ketat, Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong kuat negara Iran.

“Tragedi semalam juga boleh dikatakan sebagai satu tindakan balas secara halus oleh Israel susulan terdapat serangan peluru berpandu daripada kumpulan Hezbollah ke negara itu beberapa hari lalu, namun berjaya dipatahkan.

“Senario tragedi itu disokong hakikat kejadian itu berlaku berhampiran rumah bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Al-Hariri yang terbunuh akibat letupan bom di keretanya pada tahun 2005 dan kes pembunuhannya masih sedang berjalan di mahkamah,” katanya.