X

Kindly register in order to view this article
!

Pengguna RFID di Kedah, Pulau Pinang meningkat

Penggunaan lorong RFID di Kedah dan Pulau Pinang meningkat sehingga 10 peratus sejak ia dilaksanakan dua minggu lalu.
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan kaedah pembayaran tol yang baharu bagi kenderaan penumpang persendirian iaitu teknologi RFID di Kedah dan Pulau Pinang meningkat sehingga 10 peratus sejak pelaksanaannya.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, semakin ramai rakyat Kedah dan Pulau Pinang beralih kepada pembayaran tol tanpa sentuh dan tanpa tunai tersebut.

Menurutnya, kadar penggunaan RFID meningkat daripada 2.3 peratus sehingga mencecah 10 peratus sejak dilaksanakan dua minggu lalu.

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk perjalanan di lebuhraya yang lebih lancar.

"Kadar peningkatan yang baik dalam tempoh singkat 14 hari amat positif. Saya percaya ia akan terus meningkat apabila semakin ramai melihat faedah yang diperoleh daripada sistem pembayaran baharu ini," katanya dalam kenyataan medianya tadi.

Tambahnya, faedah paling ketara mengenai pelaksanaan RFID ialah memastikan penjarakkan fizikal dilaksanakan berbanding pembayaran menggunakan kad sedia ada.

"Apabila dihubungkan dengan e-Wallet pelanggan, ia mengurangkan risiko pelanggan tersangkut di lorong tol akibat kekurangan baki dan pelanggan perlu menambah nilai secara fizikal selain terdedah dengan penularan wabak Covid-19.

"PLUS berterima kasih kepada LLM kerana menyokong pelaksanaan ujian perintis awam ini. Ia membolehkan kami melaksanakannya buat julung kalinya di sembilan buah plaza tol Sistem Tertutup iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

"Ia langkah awal sebelum sistem RFID dilaksanakan di lebuhraya Sistem Tertutup yang lain tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan perlu mengambil enam langkah sebelum menggunakan sistem RFID yang bertepatan dengan norma baharu.

"Pelanggan perlu memuat turun aplikasi Touch ‘n Go eWallet pada telefon bimbit seterusnya ke Pusat Pemasangan RFID yang berdaftar untuk memasang dan mendapatkan tag pelekat RFID. Mereka boleh merujuk https://mx.touchngo.com.my/fitment-centres untuk senarai pusat pemasangan RFID terkini.

Menurutnya, ketika ini semua transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi diterima di semua plaza tol PLUS.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa lorong SmartTAG di beberapa plaza tol kecil dengan jumlah lorong yang terhad digantikan dengan lorong khas RFID," katanya.

Azman berkata, kad Touch ‘n Go juga masih boleh digunakan di lorong Touch ‘n Go yang biasa.

"Pendekatan yang sama akan digunakan apabila RFID diperluaskan ke seluruh negara selepas ini.

"Untuk pembayaran tol, PLUS ingin mengingatkan bahawa tag pelekat RFID perlu dipasangkan pada kenderaan. Pelekat tag RFID yang gagal dipasang pada kenderaan boleh menyebabkannya dibatalkan dan disenarai hitam," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!