KPDN rampas 4,200 minyak diesel bersubsidi

Pegawai KPDN memeriksa tangki tambahan yang ditemui pada salah sebuah lori.
Pegawai KPDN memeriksa tangki tambahan yang ditemui pada salah sebuah lori.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 4,200 liter minyak diesel bersubsidi yang disyaki diseleweng menerusi OPS TIRIS 3.0 di sebuah stesen minyak sekitar Bagan.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, tangkapan dibuat hasil risikan pasukan penguat kuasa sebelum menangkap seorang pemandu lori di stesen minyak terbabit pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan pada lori terbabit menemukan sejumlah minyak disyaki diesel dengan anggaran hampir 4,200 liter yang tersimpan di dalam enam unit tangki di dalam lori tersebut.

"Dalam kes ini juga kita telah berjaya menahan dua orang lelaki tempatan di tempat kejadian.

"Turut ditemui dua buah lori dan empat set motor pam berserta hos paip disita untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Jegan berkata, nilai rampasan minyak diesel dianggarkan RM9,030 menjadikan nilai anggaran barang rampasan keseluruhan berjumlah RM41,430.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya sedang mengenal pasti individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta ringgit bagi pertubuhan perbadanan.

Artikel Berkaitan: