X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19, konflik di Afghanistan

Covid-19
Covid-19
A
A
KES koronavirus (Covid-19) pertama di Afghanistan telah dilaporkan pada penghujung Februari lalu. Sejak itu, bilangan pesakit Covid-19 semakin meningkat. Menurut Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan, pada Julai, bilangan penduduk yang diuji positif adalah seramai 33,594 orang dan 936 orang telah meninggal dunia.

Wilayah Kabul mencatat bilangan kes tertinggi (lebih 4,000 pada Mei), diikuti Herat dan Balkh. Bilangan itu berdasarkan kes-kes yang telah dilaporkan, namun bilangan sebenar mungkin lebih tinggi terutama di kawasan luar bandar.

Kemampuan Afghanistan untuk memerangi Covid-19 amat terhad kerana negara itu telah mengalami kemusnahan akibat perang saudara dan pendudukan kuasa-kuasa asing selama 40 tahun sehingga Afghanistan merupakan salah satu negara termiskin di dunia.

Konflik berpanjangan telah menyebabkan ramai penduduk menjadi pelarian. Dianggarkan seramai 1.7 juta penduduk menjadi mangsa pelarian ke Iran dan Pakistan, manakala 1.1 juta orang kehilangan tempat tinggal. Pada 2019, dianggarkan seramai 3,403 orang awam telah terbunuh dan 6,989 orang tercedera akibat konflik bersenjata.

Kemudahan kesihatannya tidak berupaya memenuhi keperluan penduduk seramai 38 juta orang. Susulan penularan Covid-19, keadaan menjadi lebih genting. Kekurangan peralatan ujian, ubat-ubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE) melemahkan keupayaan Afghanistan untuk melawan Covid-19. Pengamal perubatan dan dan penjaga kesihatan sering menjadi sasaran serangan kumpulan bersenjata.

Ketidakstabilan politik dan konflik di Afghanistan menjadi penghalang utama untuk penjagaan kesihatan. Ia menyebabkan penyumbang antarabangsa khuatir untuk meneruskan sumbangan perubatan dan sukarelawan kesihatan juga bimbang untuk berada di Afghanistan.

Usaha awal untuk memerangi Covid-19 di Afghanistan telah menghadapi cabaran kerana pergolakan politik dalaman akibat Pilihan Raya Presiden 2019 kerana kedua-dua calon (Presiden Ashraf Ghani dan Abdullah Abdullah) masih terus bertelagah mengenai keputusan pilihan raya.

Selain itu, kemampuan Afghanistan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dan menghantar bantuan perubatan ke kawasan luar bandar adalah terhad kerana kebanyakan pasukan keselamatannya seperti polis dan tentera masih perlu menumpukan perhatian membendung serangan kumpulan Taliban terhadap orang awam.

Perjanjian

Pada 29 Februari 2020, Amerika Syarikat (AS) dan Taliban menandatangani perjanjian. AS telah berjanji untuk mengundurkan tenteranya dari Afghanistan dalam tempoh 14 bulan dan pihak Taliban bersetuju menghentikan sokongan terhadap kumpulan pengganas yang menimbulkan ancaman keselamatan dan kepentingan AS.

Perjanjian AS-Taliban juga memperuntukkan rundingan intra-Afghanistan untuk menyelesaikan konflik. Misalnya, AS akan mengundurkan 5,400 tentera dari Afghanistan dalam tempoh 135 hari setelah menandatangani perjanjian itu.

Salah satu syarat yang telah dipersetujui adalah rundingan damai intra-Afghanistan antara kerajaan Afghanistan dengan panglima-panglima atau warlords yang menguasai beberapa wilayah. Bagaimanapun, Covid-19 menyebabkan perjumpaan dan rundingan bersemuka terpaksa ditangguhkan. Kerajaan Afghanistan telah mengisytiharkan gencatan senjata bagi seluruh negara supaya semua pihak bertelagah termasuk Taliban boleh memastikan penduduk Afghanistan dapat dihubungi oleh pekerja kesihatan.

Walaupun Covid-19 meragut ramai nyawa, namun ia juga memberi peluang kepada Afghanistan dan pihak Taliban untuk bekerjasama memerangi musuh yang sama. Perbezaan ideologi politik dan persengkataan lama harus dilupakan kerana penularan virus Covid-19 tidak kira sama ada mangsanya Taliban atau penyokong kerajaan. Proses damai dan genjatan senjata seharusnya dipertahankan bagi membolehkan sistem penjagaan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!