Tangguh kenaikan bayaran fasiliti kesihatan awam - Muhyiddin

Muhyiddin ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis
Muhyiddin ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menangguhkan kenaikan kadar fi atau bayaran perkhidmatan di fasiliti kesihatan awam kerana akan membebankan rakyat yang masih terkesan dengan kos sara hidup.

Justeru bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta perkara tersebut diteliti semula sekali gus tidak dilaksanakan secara ketika ini.

"Saya ingin mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat.

"Rakyat pada masa ini sedang menanggung sengsara akibat kenaikan harga barangan keperluan harian, kadar inflasi, Kadar Dasar Semalam (OPR) dan yang terbaharu kenaikan tarif elektrik," katanya ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kertas Putih Kesihatan dibentangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu Muhyiddin (PN-Pagoh) mencadangkan kerajaan mengecualikan rakyat berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan bayaran bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan kerajaan, Muhyiddin berkata, ramai yang bukan golongan B40 kini sudah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak.

"Dalam beberapa kajian yang saya lihat, termasuk yang dikeluarkan oleh Merdeka Center baru-baru ini, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka lebih teruk berbanding tahun lalu dan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja," katanya.

Sementara itu Muhyiddin turut menyentuh mengenai pemerkasaan sektor penjagaan profesional, kesihatan mental serta kesihatan golongan rentan.

Beliau menghargai cadangan kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan kesihatan daripada pelbagai sumber termasuk kerajaan, perseorangan dan syarikat di bawah pengurusan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Cadangan ini merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15.

"Namun seperti mana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan, sebahagian besar daripada perbelanjaan kesihatan ditanggung oleh kerajaan," ujarnya.