Kadar fi fasiliti kesihatan awam tidak naik sewenang-wenangnya

Dr Zaliha ketika sesi penggulungan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dr Zaliha ketika sesi penggulungan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan kadar fi atau bayaran perkhidmatan di fasiliti kesihatan awam tidak akan dinaikkan hingga memberi kesan kepada golongan tidak berkemampuan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, langkah penstrukturan semula kadar berkenaan seperti yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan juga tidak akan dilaksanakan segera.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, cadangan tersebut akan diteliti secara telus dengan melibatkan semua pihak berkepentingan sebelum dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

"Sebarang perubahan struktur fi bukanlah sesuatu yang akan dijalankan dengan segera dan sewenang-wenangnya.

"Ia akan diteliti secara rapi dan telus dengan analisa wajar serta libat urus semua pihak berkepentingan.

"Paling penting adalah memastikan rakyat terutama golongan rentan dan tidak berkemampuan tidak terkesan, selain akses kepada perkhidmatan kesihatan akan terus dinikmati," katanya ketika sesi penggulungan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ketika sesi perbahasan, isu kenaikan bayaran perkhidmatan di fasiliti kesihatan awam dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh); Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat); Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).

Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu secara bersama menggesa kerajaan agar tidak tergesa-gesa menaikkan kadar berkenaan supaya ia tidak membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

Usul Kertas Putih Kesihatan diluluskan di Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.