Warga Ipoh patuh pakai pelitup muka

Aktiviti jualan gerai tepi jalan juga dilakukan dengan pematuhan pemakaian pelitup muka.
Aktiviti jualan gerai tepi jalan juga dilakukan dengan pematuhan pemakaian pelitup muka.
A
A
A

IPOH - Orang ramai di daerah ini dilihat mematuhi arahan wajib memakai pelitup muka yang dikuatkuasakan kerajaan bermula hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi tumpuan umum dan sesak di sekitar Ipoh pagi tadi mendapati penduduk tempatan dan warga asing yang sedang membeli-belah serta berkumpul juga patuh kepada arahan dan menggunakan pelitup muka dengan betul.

Di Pasar Besar Ipoh, peniaga dan pengunjung turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan manakala segelintir yang dilihat meletakkan pelitup muka di dagu segera memakainya dengan betul selepas ditegur.

Seorang pengunjung, Azahar Rashid, 53, menyambut baik arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan bagi menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Kita rasa lebih selamat apabila berada di tempat sesak seperti pasar ini.

"Lagipun tidak sukar memakai pelitup muka, hanya bila keluar rumah," katanya.

Peniaga dan pengunjung Pasar Besar Ipoh dilihat patuh pada arahan pemakaian wajib pelitup muka.
Peniaga dan pengunjung Pasar Besar Ipoh dilihat patuh pada arahan pemakaian wajib pelitup muka.

Selain itu, pengguna pengangkutan awam di Stesen Keretapi Ipoh dan Terminal Meru Raya juga dilihat memakai pelitup muka semasa menunggu perkhidmatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti jualan makanan di gerai-gerai tepi jalan serta pengunjung yang masuk ke pasar raya turut patuh kepada arahan dikenakan.

Ada antara mereka membawa bersama anak kecil dan dipakaikan pelitup muka.

Suri rumah, Rohaya Madin, 41, berkata, sebelum arahan wajib dikeluarkan lagi beliau sentiasa memastikan anak-anaknya memakai pelitup muka sama ada di sekolah atau ketika aktiviti luar rumah.

"Ini saranan kerajaan supaya rakyat kita tidak dijangkiti lagi, jadi kenalah patuh untuk kebaikan kita juga," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemantauan sehingga jam 12 tengah hari mendapati, pematuhan orang ramai berada pada tahap yang baik.

Katanya, hanya satu kompaun dikeluarkan setakat ini ke atas pengunjung Pasar Gunung Rapat kerana ingkar arahan memakai pelitup muka.

"Pemantauan masih diteruskan namun kita berpuas hati dengan pematuhan orang ramai setakat ini," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan arahan pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum mulai 1 Ogos.

Kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.