Rendang Tok tradisi raya di Perak

Wan Norashikin menunjukkan juadah Rendang Tok yang merupakan menu tradisonal Perak.
Wan Norashikin menunjukkan juadah Rendang Tok yang merupakan menu tradisonal Perak.
A
A
A

IPOH - Juadah Rendang Tok sinonim dengan masakan tradisional Perak. Resipi warisan berusia lebih 100 tahun itu bukan hanya terkenal dalam kalangan kebiasaan malah, menjadi juadah pilihan diraja.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, rendang turun temurun itu menjadi pilihan pesawah dan petani suatu ketika dahulu untuk dijadikan bekalan ketika membanting tulang.

”Rempah ratus yang digunakan seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam, kulit kayu manis dan buah keras berfungsi sebagai pengawet semulajadi pada rendang ini.

“Rendang ini boleh disimpan dan tahan selama dua bulan. Keistimewaan inilah, Rendang Tok ini pernah menjadi menu utama untuk hidangan di dalam kapal terbang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, resipi Rendang Tok yang dipelajari dari ibunya itu menjadi juadah wajib dihidangkan di meja makan apabila tibanya raya.

Rendang Tok sesuai dihidangkan bersama lemang di pagi raya.
Rendang Tok sesuai dihidangkan bersama lemang di pagi raya.

“Kami sekeluarga akan memasak secara gotong-royong kerana rendang ini perlu dimasak lebih dua jam agar daging lembut dan mempunyai rasa masam, manis, masin, pedas dan berlemak.

“Keunikan rasa itu ternyata telah memikat lidah tidak kira kanak-kanak mahupun warga emas dan enak dimakan bersama lemang, ketupat serta nasi panas.

Artikel Berkaitan:

Wan Norashikin berkata, keunikkan rendang itu adalah rasa rangup ketika digigit kerana ia ditambah isi kelapa yang tidak terdapat pada rendang lain.

Katanya, juadah itu pernah disenaraikan sebagai ikon makanan di negeri itu sekaligus menjadi produk pelancongan utama Perak.

Resipi

Bahan-bahan

Bahan A (kisar)

25 biji bawang merah

4 ulas bawang putih

4 batang serai

15 tangkai cili kering

Sesudu biji ketumbar

Sesudu jintan manis

Sesudu jintan putih

Sesudu lada hitam

1 kulit kayu manis

4 biji buah keras

1 inci halia

1 inci kunyit hidup

1 inci lengkuas

Bahan B

1 kg daging batang pinang (potong kuib 3 inci)

Semangku isi kelapa (dihiris nipis)

1 gula kabung

3 keping asam gelugur

3 sudu kerisik

Sehelai daun kunyit (koyak)

Pati santan (3 biji kelapa)

Garam

Gula

Cara memasak

Daging bersama bahan A, santan, gula kabung dimasak dalam kuali dengan api yang sederhana sehingga santan mula kering separuh.

Masukkan daun kunyit, asam gelugur, kerisik dan isi kelapa dimasukkan sehingga santan mulai kering dan daging mula empuk dan diseimbangkan dengan garam dan gula.

Hidangkan bersama lemang dan ketupat.