Penyokong Najib berkumpul di Mahkamah Jalan Duta

Puluhan penyokong Najib tiba di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Puluhan penyokong Najib tiba di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Puluhan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, sejak jam 7 pagi ini.

Kehadiran mereka yang rata-rata berbaju kurung warna merah sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap Najib yang berhadapan dengan keputusan mahkamah sama ada Ahli Parlimen Pekan itu akan disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang diwakili Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger.

Sementara itu, beberapa anggota polis turut ditempatkan di sekitar kawasan kompleks itu bagi mengawal aliran trafik dan situasi semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Esok penentu nasib Najib

Hanya beberapa pengamal media yang mempunyai pas khas dibenarkan masuk untuk menghadkan jumlah wartawan dan jurufoto membuat liputan selari dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Setakat jam 8 pagi, keadaan dilihat masih terkawal tanpa sebarang kekecohan dan kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Pengamal media mula berkumpul sejak jam 6.30 pagi lagi.
Pengamal media mula berkumpul sejak jam 6.30 pagi lagi.

Seawal jam 6.30 pagi lagi petugas media dan orang ramai telah mula memenuhi pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta ini walaupun pintu pagar masih belum dibuka.

Selepas lebih dua tahun turun naik mahkamah bagi berdepan dengan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta, nasib bekas Perdana Menteri Malaysia itu akan diketahui hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka menyampaikan keputusan sama ada Najib disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pada jam 10 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.