Stesen minyak operasi jam 4 pagi diserbu

Tindakan sebuah stesen minyak di sini yang disyaki membuka premis seawal jam 4 pagi bagi menjual bahan api itu untuk tujuan penyeludupan diserbu KPDN Kelantan pada Isnin.
Tindakan sebuah stesen minyak di sini yang disyaki membuka premis seawal jam 4 pagi bagi menjual bahan api itu untuk tujuan penyeludupan diserbu KPDN Kelantan pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Tindakan sebuah stesen minyak yang disyaki membuka premis seawal jam 4 pagi bagi menjual bahan api itu untuk tujuan penyeludupan diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Isnin.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, serbuan awal pagi itu dilakukan hasil maklumat awam berkait dengan aktiviti penyeludupan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota terus melakukan serbuan ke lokasi dan mendapati seorang lelaki sedang mengisi bahan api itu ke dalam tong jerikin yang terdapat di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kereta itu membawa kepada penemuan 925 liter petrol yang dianggarkan berjumlah RM1,896.25.

Ujarnya, susulan itu KPDN Kelantan telah menahan pekerja stesen minyak tersebut untuk siasatan lanjut.

Azman memberitahu, pada masa sama KDPN Kelantan akan memanggil pemilik stesen bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, operasi stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailad di negeri ini bermula jam 7 pagi bukannya awal pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik stesen disyaki melanggar arahan pengawal bekalan dengan membenarkan mana-mana individu membuat pengisian ke dalam tong dan bukan di dalam tangki asal kenderaan tanpa kebenaran yang sah dari pengawal bekalan serta penjualan secara berulang kali.

"Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 12 (a) Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974," katanya.