Kenapa jemaah umrah Indonesia diminta elak transit di Malaysia, Singapura?

Pesawat Garuda Indonesia. Gambar hiasan/Agensi
Pesawat Garuda Indonesia. Gambar hiasan/Agensi
A
A
A

JAKARTA – Jemaah umrah Indonesia kini digalakkan mengelakkan penerbangan transit melalui Malaysia dan Singapura, sebaliknya memilih penerbangan terus ke Arab Saudi sebagai langkah meningkatkan kelancaran perjalanan serta menyokong industri penerbangan tempatan.

Gesaan kerajaan Indonesia itu turut mendapat perhatian kerana Malaysia dan Singapura merupakan antara lokasi persinggahan utama jemaah negara berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.

Menurut Kompas.com, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, pihaknya telah meminta pengendali perjalanan umrah mengutamakan penerbangan terus berbanding laluan transit.

“Kami menggesa jemaah memilih penerbangan terus, bukannya penerbangan transit.

“Kami juga meminta persatuan pengendali umrah supaya buat sementara waktu tidak memilih penerbangan transit seperti melalui Malaysia atau Singapura,” katanya baru-baru ini.

Menurut Dahnil, kira-kira 70,000 jemaah Indonesia menggunakan penerbangan transit melalui kedua-dua negara itu.

Beliau menjelaskan, jumlah tersebut merupakan peluang besar untuk meningkatkan penggunaan syarikat penerbangan nasional, termasuk Garuda Indonesia dan Lion Air.

Bagaimanapun, beliau mengakui syarikat penerbangan tempatan perlu menawarkan tambang lebih kompetitif dan meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menarik minat jemaah.

Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Mochamad Irfan Yusuf mengesahkan perjalanan umrah ke Arab Saudi masih berjalan lancar meskipun terdapat kebimbangan keselamatan susulan konflik di Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penerbangan terus tidak mengalami gangguan ketara, manakala beberapa penerbangan transit hanya berdepan kelewatan kecil.

Kerajaan Indonesia turut meneruskan pemantauan bersama Kementerian Luar dan perwakilan diplomatiknya di Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah.

Bagaimanapun, gesaan mengelakkan transit melalui Malaysia dan Singapura itu merupakan saranan kerajaan, bukannya larangan rasmi terhadap penggunaan lapangan terbang kedua-dua negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!