X

Kindly register in order to view this article
!

Esok penentu nasib Najib

NAJIB TUN RAZAK
A
A

SHAH ALAM - Selepas lebih dua tahun turun naik mahkamah bagi berdepan dengan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta, nasib bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal diketahui esok.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka menyampaikan keputusan sama ada Najib disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pada jam 10 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan mahkamah esok bakal menarik perhatian seluruh dunia kerana ia keputusan kes pertama Ahli Parlimen Pekan itu berhubung skandal jenayah kewangan 1MDB.

SRC International merupakan anak syarikat 1MDB sebelum diserap ke Kementerian Kewangan Diperbadankan pada tahun 2012.

Najib didakwa atas pertuduhan berkaitan SRC International pada 4 Julai 2018 atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan daripada dana sama.

Pada 11 November 2019, Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga dakwaan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan Najib berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, tuduhan pengubahan wang haram memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun.

Dalam pada itu, dalam perbicaraan kes berprofil tinggi tersebut, pihak pembelaan dilihat cuba membangkitkan keraguan ke atas Najib dengan meletakkan kesalahan pecah amanah kepada ahli perniagaan Jho Low.

Pada Jun lalu, pihak pembelaan mengemukakan kepada mahkamah bahawa walaupun wang memang disalahgunakan daripada SRC International, namun Jho Low, lembaga SRC International dan ahli perbankan harus dipersalahkan.

Selain Najib, antara saksi utama yang dipanggil sepanjang perbicaraan bela diri itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; dan dua bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Latheefa Koya.

Najib, 67, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam dari April 2009 hingga Mei 2018 merupakan perdana menteri pertama negara yang dihadapkan ke mahkamah.Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ialah peguam utama pihak pembelaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!