PKPD dilaksana di lokaliti catat kes mendadak Covid-19

Noor Azmi - Foto Malaymail
Noor Azmi - Foto Malaymail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut kawasan lokaliti yang mencatatkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan tersebut akan dilakukan segera di kawasan berkenaan seperti mana langkah yang diambil kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, KKM tidak menetapkan angka dua atau tiga digit kes positif sebagai penentu bagi pelaksanaan PKPD, sebaliknya ia bergantung kepada peningkatan mendadak kes di lokaliti terbabit.

“Tidak meletakkan jumlah angka (dua atau tiga digit) tetapi kalau ada kes mendadak dan banyak, sesuatu perlu dilakukan. Kita kembali ke asal iaitu 'lockdown' (PKPD).

“Kita belum sahkan mana-mana negeri yang masuk gelombang ketiga. Kita ada kes meningkat tapi kita belum tinggi.

“Kalau ada kes (mendadak), kita akan buat balik secepatnya perkara yang telah kita buat sebelum ini. Bukan satu negara terus tapi ikut peringkat lokaliti,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari.

Berhubung kewujudan beberapa kluster baharu di Sarawak, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan akan menghantar pasukan KKM bagi melakukan siasatan lanjut dan sebarang keputusan akan dibuat tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan: