Kerajaan belanja RM15 juta sebulan, kekal harga siling minyak masak botol - Armizan

Armizan berkata, intervensi menerusi MKHMM bertujuan mengekang gangguan bekalan dan pergerakan harga minyak masak dalam kemasan botol yang boleh membebankan rakyat.
Armizan berkata, intervensi menerusi MKHMM bertujuan mengekang gangguan bekalan dan pergerakan harga minyak masak dalam kemasan botol yang boleh membebankan rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan anggaran RM15 juta sebulan menerusi pelaksanaan Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol kepada pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mekanisme itu membolehkan kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak botol masing-masing RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).

Menurutnya, pelaksanaan mekanisme itu diluluskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November lalu susulan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Mekanisme berkenaan dilaksanakan melalui peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan trend peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) dunia sejak Jun 2025.

"Trend ini dijangka kekal berterusan sehingga memberikan tekanan kos yang semakin tinggi kepada industri pengilangan untuk mematuhi harga siling minyak kemasan botol yang ditetapkan sehingga ada syarikat yang telah menghentikan pengeluaran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan harga purata CPO dunia pada Oktober 2026 sebanyak RM4,400 satu tan, harga minyak masak botol 5kg dianggarkan meningkat kepada RM34 sekiranya langkah intervensi itu tidak dilaksanakan.

Jelasnya, intervensi menerusi MKHMM bertujuan mengekang gangguan bekalan dan pergerakan harga minyak masak dalam kemasan botol yang boleh membebankan rakyat.

Menurutnya, peruntukan RM15 juta sebulan itu akan digunakan dalam bentuk insentif khas bagi pembekalan minyak masak kemasan botol yang mematuhi harga siling ditetapkan.

"Tindakan ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menangani implikasi pergerakan harga bekalan global sebagaimana pertambahan subsidi yang diperuntukkan bagi bahan api petrol RON95 dan diesel," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, kerajaan turut mengambil perhatian serius terhadap kesukaran sebahagian pengusaha restoran mendapatkan pekerja sehingga memohon kelulusan penggajian pekerja asing.

Beliau berkata, keprihatinan itu dizahirkan menerusi pengumuman Perdana Menteri dan keputusan Jemaah Menteri pada Ogos 2026 supaya proses pertimbangan bagi keperluan mendesak subsektor restoran disegerakan.

Menurutnya, susulan keputusan itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memproses permohonan berdasarkan siling kuota 15,000 pekerja asing yang diumumkan pada 5 Ogos 2026, tertakluk kepada pematuhan syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.

"Bagaimanapun, kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan agenda reformasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menyasarkan pengurangan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030.

"Sebagai kementerian kawal selia bagi subsektor restoran, KPDN menyeru partisipasi semua pemegang taruh berkaitan dalam memperkukuh kerangka strategi dan pendekatan untuk mencapai sasaran tersebut.

"Sehubungan itu, pihak berkepentingan seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) disarankan tampil dengan syor dan cadangan berdasarkan data dan kajian menyeluruh dalam mengurangkan penggajian pekerja asing," katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan memperakui kesukaran mendapatkan pekerja bagi operasi restoran, komitmen dan tindakan serius perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan berterusan kepada pekerja asing.

Menurutnya, kebergantungan itu boleh menyebabkan herotan gaji dan produktiviti dalam negara, sekali gus menjadi cabaran berpanjangan kepada usaha meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat.

Tambahnya, selain strategi meningkatkan pendapatan, kerajaan akan terus menggerakkan usaha menangani isu harga barang keperluan, termasuk melalui langkah intervensi bagi memastikan kestabilan pergerakan harga dan perkhidmatan susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!