Urusan zakat lebih mudah menerusi YEZ 2026

Dr Zulkifli (tengah) bersama tetamu kehormat sempena Majlis Pelancaran Year End Zakat 2026 di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto : Bernama
Dr Zulkifli (tengah) bersama tetamu kehormat sempena Majlis Pelancaran Year End Zakat 2026 di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto : Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelbagai kemudahan digital dan perkhidmatan kaunter diperkenalkan menerusi Kempen Year End Zakat (YEZ) 2026 bagi memudahkan umat Islam menyemak, mengira serta menunaikan zakat menjelang penghujung tahun ini.

Kempen bertemakan ‘Sempurna Bersama’ dengan mesej ‘Membina Generasi Zakat’ itu dilancarkan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkembangan pembayaran zakat menunjukkan peningkatan yang baik hasil usaha memperluas kemudahan kepada masyarakat.

“Alhamdulillah kita dapat trend yang sangat baik daripada peningkatan pembayaran zakat berbanding dahulu dan efisien,” katanya dalam majlis pelancaran kempen YEZ 2026 di Immersify Kuala Lumpur, The Labs City Centre, Bukit Bintang pada Rabu.

Pada majlis sama, platform pusat tuisyen atas talian MC Plus (MC+) turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.2 juta kepada PPZ-MAIWP yang disaksikan Dr Zulkifli.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MC Plus, Shakib Samsudin, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer

Dr Zulkifli menjelaskan bahawa umat Islam perlu mengambil peluang menunaikan zakat kerana amalan itu bukan sekadar melibatkan pembayaran harta, malah membawa keberkatan dan kerahmatan.

“Menunaikan zakat ini bukanlah bermakna duit kita akan kurang tetapi keberkatan dan juga kerahmatan Insya-ALLAH,” katanya.

Menurut beliau, antara kemudahan utama diperkenalkan sepanjang kempen ialah Kalkulator ZakatKu yang membolehkan pembayar mengenal pasti jenis pendapatan dan harta yang perlu dinilai berdasarkan pekerjaan serta aset dimiliki.

Artikel Berkaitan:

Kemudahan itu turut menyediakan panduan pengiraan secara berperingkat, termasuk menggabungkan harta berkaitan bagi menentukan kecukupan nisab sebelum pembayar meneruskan urusan bayaran menerusi portal PPZ-MAIWP.

Aplikasi MyZakat 4.0 ditambah baik dengan ciri EzyPay bagi memudahkan pembayaran, manakala MyResit membolehkan pengguna menyemak, memuat turun dan berkongsi resit serta penyata bayaran zakat dan wakaf.

Bagi memudahkan urusan pembayar, kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang Disember dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga jam 9 malam pada 26 hingga 31 Disember ini, termasuk cuti umum.

Beliau turut menggalakkan masyarakat mendapatkan khidmat secara bersemuka di kaunter PPZ-MAIWP sekiranya memerlukan penerangan lanjut mengenai pembayaran zakat.

“Maka kita sangat-sangat mengalu-alukan. Insya-ALLAH kita berikan perkhidmatan terbaik untuk semua dan tahun depan akan lebih baik lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!