[VIDEO] Digugurkan sebagai Exco, Kamarudin terima dengan hati terbuka

A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor menerima keputusan penamatan khidmatnya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) atau Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri dengan hati terbuka dan reda.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas berkata, keputusan itu berkuat kuasa pada 9 November lalu selepas menerima surat daripada Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan yang memaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan membatalkan pelantikannya sebagai anggota AMMK.

Beliau menghormati hak prerogatif Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam urusan pelantikan anggota Exco yang perlu mendapat perkenan sultan.

"Saya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan reda. Walau apa pun perkembangan yang berlaku, tanggungjawab saya sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kelantan tetap menjadi keutamaan dalam memastikan kepentingan, prinsip dan perjuangan parti terus dipelihara di negeri ini," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Kamarudin memberitahu, beliau tidak pernah meminta mahupun melobi untuk dilantik ke jawatan berkenaan ketika namanya dikemukakan oleh Menteri Besar sebelum ini.

Kamarudin (duduk, tengah) bersama sebahagian kepimpinan Bersatu semasa sidang akhbar di Kota Bharu pada Rabu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Kamarudin (duduk, tengah) bersama sebahagian kepimpinan Bersatu semasa sidang akhbar di Kota Bharu pada Rabu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Sebaliknya, beliau menerima pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) atau ditamatkan lebih awal.

Dalam pada itu, beliau mengakui dukacita dengan perkembangan hubungan antara Pas dan Bersatu di peringkat pusat yang semakin meruncing sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga membawa kepada pengisytiharan pemutusan hubungan oleh Pas pada Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kamarudin turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar serta seluruh rakan Exco atas kerjasama, nasihat dan bimbingan sepanjang tiga tahun berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penamatan khidmatnya sebagai Exco tidak menjejaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan dan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan DUN Ayer Lanas.

"Saya mendoakan agar segala urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan terus berjalan dengan baik demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!