JAS gempur semua kilang beroperasi di Sungai Selangkah

Sungai Kim Kim di Pasir Gudang kembali kotor selepas penduduk setempat mendakwa kilang-kilang berhampiran kembali membuang sisa kotoran termasuk dipercayai bahan toksik.
Sungai Kim Kim di Pasir Gudang kembali kotor selepas penduduk setempat mendakwa kilang-kilang berhampiran kembali membuang sisa kotoran termasuk dipercayai bahan toksik.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menggempur semua premis kilang yang beroperasi di sepanjang Sungai Selangkah, Pasir Gudang pada 6 hingga 8 Julai lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, pemeriksaan selama tiga hari menerusi Ops Gempur itu melibatkan tiga pegawai dan 39 anggota penguatkuasa dari Pejabat JAS di Johor Bahru dan pejabat-pejabat cawangannya.

"Melalui operasi yang diadakan sebanyak 85 pemeriksaan telah dibuat, dua penahanan kelengkapan operasi dan 93 kompaun diberikan.

"Sebanyak 26 Notis Arahan juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kim Kim kembali bertoksik

Menerusi pendedahan laporan khas Sinar Harian semalam, Sungai Kim Kim kembali tercemar dipercayai daripada buangan sisa toksik kilang berhampiran hingga mengakibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih pening dan muntah-muntah pada 24 Jun lalu.

Dalam laporan berkenaan, penduduk memberitahu Sungai Kim Kim kembali tercemar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat baru-baru ini dan bau busuk serta tengik mula dihidu semula.

Difahamkan Sungai Selangkah merupakan satu daripada sungai-sungai yang bercantum dengan Sungai Kim Kim sebelum masuk ke laut.

Vidyananthan berkata, JAS akan terus meningkatkan penguatkuasaan ke atas premis industri dan mengadakan operasi seperti itu secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, JAS mengingatkan kepada semua industri supaya sentiasa mematuhi undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Semua pihak perlu bersama-sama memelihara alam sekitar demi kesejahteraan hidup penduduk dan masyarakat di kawasan Pasir Gudang.

"Tindakan tegas akan diambil bagi sebarang pelanggaran akta tersebut," katanya.

Katanya, orang ramai digesa untuk membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.