Pelaku vandalisme miskin peradaban

Pelukis bersama polis sedang berbincang susulan mural dan potret lukisan pemimpin negara diconteng di Taman Cahaya Alam. - Foto Bernama
Pelukis bersama polis sedang berbincang susulan mural dan potret lukisan pemimpin negara diconteng di Taman Cahaya Alam. - Foto Bernama
A
A
A

LUKISAN pada tembok atau dinding bangunan bukanlah asing di negara ini. Sesetengah orang memanggilnya sebagai mural atau grafiti manakala yang lain menggelarkannya vandalisme.

Mural dan grafiti dianggap karya seni kerana keindahan lukisan dan kekuatan mesejnya. Vandalisme dalam konteks ini pula ialah perlakuan merosakkan harta benda awam atau persendirian dalam bentuk contengan di dinding.

Contengan ini selalunya melibatkan perkataan atau lukisan bersifat lucah, provokasi dan penuh penghinaan. Vandalisme jenis ini biasa terjadi di tandas awam, baik tandas lelaki mahupun wanita.

Namun, apabila mural potret gergasi beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah kelmarin, ia terang-terangan suatu perbuatan biadab.

Mural itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai menampilkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pakar psikologi yang mengulas insiden itu menyifatkannya sebagai perbuatan terdesak yang diapi-apikan oleh kebencian yang meluap-luap terhadap individu tertentu. Ia bukan dilakukan oleh budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian.

Apatah lagi, kejadian itu berlaku beberapa hari selepas Al-Sultan Abdullah berkenan singgah melawat mural tersebut, begitu juga Ismail Sabri.

Kemajuan negara tidak ada gunanya jika rakyat tidak memiliki kesedaran dalam menjaga harta benda dan sensitiviti masyarakat pelbagai kaum, agama dan fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, di sebalik kemarahan pelbagai pihak, insiden tersebut mencetuskan persoalan mengenai kesesuaian lukisan Agong, negarawan dan ulama dizahirkan di tepi jalan atau di celah bangunan.

Mural sebegini bagus untuk bakat pelukis tetapi adab pengunjung tiada siapa yang mengawalnya.

Tentulah lebih baik jika ia dibuat di lokasi yang lebih sesuai, daripada membiarkan berjuta-juta orang terguris perasaan akibat perbuatan seorang dua pelaku vandalisme yang miskin peradaban.