LiSA dipasang di pantai Teluk Batik: Bomba

Anggota bomba mengadakan demonstrasi penyelamatan di air dengan menggunakan peralatan daripada LiSA.
Anggota bomba mengadakan demonstrasi penyelamatan di air dengan menggunakan peralatan daripada LiSA.
A
A
A

LUMUT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil inisiatif menyediakan Life Saving Appliances (LiSA) sebagai langkah tambahan keselamatan pengunjung di pusat peranginan dan perkelahan.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, peti yang mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’ serta dilengkapi dengan siren itu adalah inovasi pertama dilaksanakan di negeri ini.

Azmi Osman
Azmi Osman

“Inovasi itu adalah kolaboratif bersama Tourism Perak sebagai langkah awal sekiranya berlaku insiden lemas. Tahun ini terdapat sembilan kes dilaporkan membabitkan 10 kematian termasuk dua kematian yang dilaporkan baru-baru ini.

“Ini cubaan pertama kita dalam penggunaan LiSA di kawasan Teluk Batik ini. Pegawai kita bersama agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis dan Rela akan beri tunjuk ajar penggunaannya kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan di Air dan pemasangan papan tanda keselamatan dan LiSA di Pantai Awam Teluk Batik di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Tourism Perak, Zuraida Md Talib.

Menurutnya, cubaan pertama itu akan menjadi titik tolak kepada pemasangan di kawasan tumpuan pelancongan di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Azmi melancarkan pemasangan LiSA, peti yag mengandungi peralatan keselamatan di Pantai Teluk Batik hari ini.
Azmi melancarkan pemasangan LiSA, peti yag mengandungi peralatan keselamatan di Pantai Teluk Batik hari ini.

“Dalam tempoh enam bulan sekiranya inovasi ini dilihat berjaya, kita akan kembangkan penggunaannya di kawasan lain seperti Tasik Cermin, Pulau Pangkor dan Tasik Banding.

“Bagaimanapun, pengunjung perlu elakkan sebarang perbuatan vandalisme dan kerosakan lain kerana peti inovasi ini adalah milik masyarakat serta demi keselamatan pengunjung yang lain,” katanya.

Pada masa sama, Azmi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan nelayan tempatan untuk mempertingkatkan aspek penyelamatan di air.

“Sasaran kita pada penghujung tahun ini menumpukan kawasan Pulau Pangkor kerana pantainya sering menjadi tumpuan pengunjung.

“Pada masa sama, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak nelayan untuk bantu kita. Mungkin kita ada kaedah untuk melantik mereka sebagai bomba nelayan. Ini masih dalam perancangan,” katanya.