Bomba bawa turun wanita terseliuh di Bukit Broga
KAJANG - Seorang wanita cedera di pergelangan kaki kanan selepas dipercayai tergelincir semasa menuruni Bukit Broga, di sini, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 pagi.
"Seramai enam anggota dan pegawai bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kami dimaklumkan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai tergelincir semasa menuruni bukit," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa terseliuh di bahagian pergelangan kaki kanan.
"Mangsa kemudian dibawa turun oleh pihak bomba menggunakan pengusung, wanita itu kemudian itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.