'Bukan senang jadi ketua kampung'

Syed Abdul Halim (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.
Syed Abdul Halim (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.
A
A
A

PANDAN INDAH - Memegang jawatan sebagai ketua kampung mungkin dianggap tugas mudah bagi sesetengah pihak, namun memikul tanggungjawab itu disifatkan satu tugas yang amat mencabar bagi Ketua Kampung, Kampung Pandan, Syed Abdul Halim Syed Harman, 48.

“Orang nampak tugas Ketua Kampung ini macam senang, sebenarnya ia memang mencabar,” katanya.

Sejak memikul tanggungjawab itu pada Oktober tahun lalu, beliau mendapati banyak isu berbangkit khususnya di Kampung Pandan seperti isu warga asing.

Katanya, kebanjiran warga asing menyebabkan gangguan sosial kepada masyarakat Kampung Pandan.

"Beberapa gerai makan, gunting rambut, kedai runcit dan kedai jamu turut dimonopoli warga asing, perlu ada operasi bersepadu secara besar-besaran untuk membanteras isu ini,” katanya.

Beliau berkata, isu berkaitan infrastruktur khususnya masalah jalan berlubang dan sistem perparitan pula sedang diatasinya bersama Adun Pandan Indah, Ir Izham Hashim dan Ahli Majlis, Majlis Perbadaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Aris Ismail.

“Kita sedang berusaha menyelesaikan isu jalan berlubang dan longkang pecah serta tersumbat, Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris),” katanya.

Syed Abdul Halim berkata, beliau menyertai Amanah setelah dipecat daripada Umno pada 2017 kerana menyokong PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini saya aktif dalam politik selama 23 tahun pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Cempaka dan Penolong Bendahari Pemuda Umno Bahagian Pandan,” katanya.

Beliau turut melibatkan diri dengan aktiviti badan bukan kerajaan seperti Kelab Sukan dan Belia 1Malaysia.

Katanya, pada masa sama, Syed Abdul Halim turut merapatkan diri dengan pihak masjid dan surau menerusi aktiviti masyarakat serta ilmu.

Beliau pernah berkhidmat di Pos Malaysia selama dua tahun sejak 1990 sebelum bekerja dengan Sapura Holdings Sdn. Bhd selama empat tahun.

“Saya juga bergiat aktif dalam sukan hoki sejak di bangku sekolah dan mewakili Pahang dalam pelbagai kejohanan bawah 15 dan 18 tahun.

“Kemudian bakat saya itu dikembangkan lagi untuk pasukan hoki Sapura Holdings Sdn Bhd. Saya bersama pasukan berjaya menaikkan ‘ranking’ daripada divisyen 4 ke divisyen 1,” katanya.

Beliau kemudian berkhidmat dengan sebuah syarikat swasta sebelum ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Syed Abdul Halim berkata, selepas mengambil VSS, beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang kontraktor secara kecil-kecilan.

"Pada ketika itu saya kurang berpengalaman dan perlu banyak belajar daripada ‘orang lama’ dalam bidang industri.

“Saya melihat cara mereka menguruskan projek dengan lebih baik seperti cara pengurusan pekerja termasuk pembelian barangan di kedai perkakasan,” katanya.

Menurutnya, cabaran ketika menceburi bidang itu adalah modal sendiri untuk projek yang dilaksanakan.

“Modal ini memainkan peranan penting untuk kita melaksanakan projek itu dengan lancar seperti pembayaran gaji pekerja termasuk pembelian barangan yang berkualiti,” katanya.

Syed Abdul Halim berkata, perancangan masa depannya adalah mahu mewujudkan Pusat Komuniti legenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dari Selangor dan berasal dari Kampung Pandan, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Selain itu katanya, beliau mahu mewujudkan gerbang pintu masuk ke Kampung Pandan dan Dataran Kampung Pandan yang menceritakan mengenai asal usul Kampung Pandan.

“Kita juga akan membina 25 gerai berhampiran Masjid Nurul Hidayah yang dapat membantu menjana ekonomi peniaga-peniaga di sini untuk menampung kehidupan seharian mereka,” katanya.