X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Zarah kecil yang disebarkan melalui bawaan udara boleh menjangkiti individu. - Foto: Agensi
A
A

NEW YORK - Koronavirus (Covid-19) kini menjangkiti individu di bar, restoran, pejabat, pasar dan kasino selepas gelombang kedua jangkitan wabak itu menyaksikan kewujudan kluster daripada premis terbabit hingga mencetuskan kebimbangan tentang kebenaran amaran saintis sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, pakar mendakwa virus tersebut hanya berlegar di ruang udara tertutup sekali gus menjangkiti individu dalam lingkungan berhampiran.

Susulan itu, pemakaian pelitup muka mungkin perlu diwajibkan jika berlaku penyebaran melalui bawaan udara terutama di kawasan sesak dengan sistem ventilasi yang lemah.

Selain itu, sistem ventilasi di sekolah, pusat jagaan, kediaman dan premis perniagaan juga mungkin perlu mengurangkan peredaran udara serta memasang penapis baharu yang lebih canggih dan menggunakan sinaran ultraungu untuk membunuh zarah virus yang terapung dalam titisan kecil dalam ruang bangunan.

Ketika kemuncak wabak itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan Covid-19 disebarkan oleh titisan pernafasan terutamanya apabila pesakit batuk atau bersin.

Bagaimanapun, menerusi surat terbuka kepada agensi kesihatan PBB tersebut, seramai 239 saintis dari 32 negara menggariskan bukti menunjukkan zarah kecil yang disebarkan melalui bawaan udara boleh menjangkiti individu dan menggesa WHO menyemak semula kenyataannya sebelum ini.

Difahamkan, kumpulan penyelidik terbabit merancang untuk menerbitkan surat tersebut dalam jurnal saintifik.

Pada 29 Jun lalu, WHO menerusi kemas kini terbaharu tentang Covid-19 menyatakan penyebaran melalui bawaan udara berkemungkinan berlaku kerana penghasilan aerosol iaitu ampaian cecair atau butiran pepejal berukuran lebih kecil daripada saiz lima mikron.

Menurut mereka, pengudaraan yang sempurna dan topeng muka N95 diperlukan untuk keadaan seperti itu.

Sebelum ini, terdapat juga dakwaan penyebaran Covid-19 boleh berlaku menerusi beberapa permukaan objek, namun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mengesahkan keadaan tersebut hanya berisiko kecil.

WHO ragu-ragu

Dr Benedetta Allegranzi yang mengetuai pasukan teknikal kawalan jangkitan di WHO menyatakan bukti mendakwa virus Covid-19 boleh disebarkan melalui bawaan udara adalah tidak meyakinkan.

“Ia tidak disokong dengan bukti yang kukuh dan jelas. Terdapat perdebatan yang meluas tentang hal ini,” ujarnya.

Namun, temu bual bersama hampir 20 saintis termasuk seramai 12 perunding WHO percaya Covid-19 dapat disebarkan melalui bawaan udara dan menjangkiti individu yang menghirup udara terbabit.

Pada awal April lalu, kumpulan terdiri daripada 36 pakar kualiti udara dan aerosol menggesa WHO mempertimbang bukti yang semakin meningkat tentang penyebaran virus tersebut melalui udara.

Agensi itu dikatakan bertindak balas dengan segera dan meminta perunding mereka, Dr Lidia Morawska mengatur mesyuarat.

Beliau dan beberapa pakar lain turut mengemukakan beberapa contoh insiden yang menunjukkan berlaku penyebaran virus tersebut melalui udara terutamanya di tempat pengudaraan yang sempit dan sesak di ruang tertutup.

WHO telah membuat perbandingan antara titisan kecil aerosol dan titisan besar walaupun individu dijangkiti menghasilkan kedua-duanya.

“Sejak 1946, batuk dan bercakap diketahui menghasilkan aerosol. Saintis tidak dapat menghasilkan koronavirus daripada aerosol di makmal. Namun, tidak bermakna aerosol tidak menular.

“Di kebanyakan bangunan, kadar peredaran udara biasanya lebih rendah sekali gus membolehkan virus berkumpul di udara dan mencetuskan risiko lebih besar,” kata pakar penyebaran virus bawaan udara di Virginia Tech, Dr Linsey Marr.

Sementara itu, ahli epidemiologi di Harvard T H Chan School of Public Health, Dr Bill Hanage mempunyai pendapat yang berbeza.

“Mereka yang fikir atau bercakap tentang penyebaran melalui bawaan udara sememangnya bodoh. Apa yang kami faham, penularan melalui udara bermaksud titisan berada di ruang udara yang menjangkiti individu selama beberapa jam dan selepas itu berlegar ke tempat lain,” katanya.

Langkah berjaga-jaga

Kebanyakan pakar berpendapat WHO sepatutnya mengambil langkah digelar sebagai ‘prinsip berjaga-jaga’ dan ada juga yang menyebutnya ‘keperluan dan nilai’ yang bermaksud walaupun tanpa bukti jelas, agensi terbabit perlu bertindak segera dan menyarankan perlindungan terbaik.

“Kita perlu membuat keputusan walaupun berdepan ketidakpastian. Ia akan menyebabkan kesan lebih buruk jika kita gagal membuat keputusan yang betul. Oleh itu, kita perlu terus memakai pelitup muka untuk tempoh beberapa minggu lagi,” kata Dr Trish Greenhalgh di Universiti Oxford, United Kingdom.

Sebelum ini, saranan WHO tentang garis panduan pemakaian pelitup muka sering berubah-ubah.

Awal Jun lalu, agensi terbabit menyarankan pelitup muka dipakai di tempat awam yang sukar melakukan penjarakan sosial walaupun sebelum ini ia menyatakan tiada bukti mencukupi yang memerlukan individu sihat memakai pelitup muka.

Pakar teknikal Covid-19 di WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata, mereka mencadangkan orang ramai memakai pelitup muka diperbuat daripada fabrik yang mengandungi tiga lapisan berbeza untuk memastikan keberkesanannya mencegah penyebaran virus tersebut.

Pada masa sama, WHO menegaskan pelitup muka cuma alat untuk mengurangkan risiko penyebaran.

“Pelitup muka tidak akan melindungi anda daripada Covid-19,” ujar Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf