Bapa, anak tiri maut terperosok bawah lori

Treler muatan simen terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bapa dan anak tiri di Kamunting. -Foto ihsan pembaca
Treler muatan simen terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bapa dan anak tiri di Kamunting. -Foto ihsan pembaca
A
A
A

KAMUNTING - Seorang lelaki dan anak tirinya berusia lapan tahun maut selepas motosikal mereka terperosok bawah treler dalam nahas di KM90.4, Jalan Ipoh - Butterworth di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Mohd Subir Mahamad Isa, 54 dan Mohammd Raiyan Danish Abdullah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan simen itu dipandu dari arah Kampung Dew menuju ke kilang di lokasi berhampiran.

“Sampai di tempat kejadian treler yang dipandu lelaki berusia 53 tahun ingin membelok ke kiri, tiba-tiba telah melanggar dan menggilis motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Motosikal mangsa berada di sebelah kiri dipercayai dari arah yang sama. Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.

“Pemandu treler ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting dan Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Anggota bertindak menggunakan ‘air lifting bag’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah tayar treler berkenaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh masa 15 minit dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 12.25 tengah hari,” katanya.