Lelaki Orang Asli maut kemalangan motosikal

Keadaan di lokasi kemalangan di kilometer 425.1 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada Ahad.
Keadaan di lokasi kemalangan di kilometer 425.1 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada Ahad.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang lelaki Orang Asli maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan dua kenderaan di kilometer 425.1 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, lelaki berusia 21 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 5.55 pagi apabila mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari Tapah, Perak menghala ke arah Klang.

"Apabila sampai di tempat kejadian motosikal tersebut telah melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki berumur 42 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Faizal berkata, akibat perlanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 30 tahun.

"Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan," katanya.