Lelaki didakwa rogol, liwat anak tiri usia 7 tahun

Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol dan mengabaikan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun di Manjung.
Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol dan mengabaikan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun di Manjung.
A
A
A

IPOH - Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak perempuan tirinya yang berusia tujuh tahun, Februari lalu.

Lelaki berusia 26 tahun dari Segari, Manjung membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol anak tiri di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 7, Segari, Manjung, Februari lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang dari 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat mangsa sama di lokasi dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan.

Dalam prosiding sama, tertuduh bersama isterinya berusia 30 tahun yang mengandung 10 minggu turut didakwa atas pertuduhan mengabaikan mangsa, Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian badan pada Januari lalu di lokasi sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Evangelin tidak menawarkan sebarang jaminan diberikan atas alasan tertuduh yang merupakan bapa tiri dan ibu kandung mangsa selain tidak mempunyai alamat tempat tinggal tetap.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan dan laporan perubatan penuh mangsa.

Sinar Harian pada 18 April lalu melaporkan penemuan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan Batu 7 Segari, Manjung membongkar satu kejadian dera dan rogol.

Hasil pemeriksaan dilakukan pihak perubatan mendapati, mangsa dipercayai telah dirogol dan didera berdasarkan kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh mangsa.

Berdasarkan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah membuat tangkapan ke atas ibu kandung dan dua bapa tiri mangsa disyaki terlibat dalam kejadian itu.