'Lulus segera peruntukan khas baiki kerosakan wad HSA'

Aminolhuda
Aminolhuda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu meluluskan peruntukan kewangan khas secepat mungkin bagi memastikan segala kerja pembaikan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang terbakar Ahad lalu dimulakan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pembaikan perlu dilakukan segera bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat untuk kakitangan HSA terutama berdepan peningkatan jumlah pesakit pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini bagi memastikan agar aspek-aspek keselamatan tidak diabaikan. Keselamatan rakyat tidak wajar dikompromi dalam apa jua keadaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, Wad Perubatan Perempuan 1 di HSA terbakar, bagaimanapun dapat dikawal dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Seramai 24 pesakit dipindahkan ke wad lain dan 10 daripadanya dibawa ke Hospital Permai.

Kebakaran pada mulanya berjaya dipadamkan polis bantuan HSA tetapi selepas itu merebak semula sebelum pihak bomba dipanggil untuk operasi pemadaman api.

Berikutan itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan membiayai kos membaik pulih wad berkenaan dan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan segera.

Sementara itu, Aminolhuda yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian serius terhadap syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas menyiasat punca kebakaran HSA pada 25 Oktober 2016.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jawatankuasa tersebut melibatkan tujuh anggota itu diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin Yunus telah mengemukakan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Jelasnya, ini termasuk latihan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan, penambahbaikan infrastruktur hospital, tambahan laluan kecemasan, pembaikan sistem elektrik bangunan dan lain-lain yang mampu mengelakkan insiden sama berulang.

"Kita khuatir sekiranya tiada tindakan segera diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan premis hospital serta menambah baik tatacara operasi dibimbangi insiden ini berulang dan mengancam nyawa lebih ramai kakitangan hospital dan pesakit," katanya.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu mahu Kementerian Kesihatan berganding bahu dengan agensi berkaitan termasuk jabatan bomba dan penyelamat bagi melaksanakan segala syor jawatankuasa bebas tersebut dengan segera.

"Ini termasuk meningkatkan keselamatan bangunan selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Johor 1984 dan 1986, Akta Bekalan Elektrik 1990 serta Peraturan Elektrik 1994 agar tidak menjejaskan keselamatan kakitangan dan pesakit di HSA," katanya.